Jumaat, 28 September 2007

Tak Tahu yang Mana Satu

Bila mahu membeli kasut sering menjadi masalah kepada aku. Keliru. Memang aku suka dengan stilettos yang tingginya dua inci dan bertali-tali membelit buku lali. Seksi.

Takkanlah mahu menyarung stilettos bertali-tali untuk ke kompleks membeli-belah? Parah dibuatnya bila memcuba kasut di kedai kasut. Meleraikan tali stilettos, masanya lebih lama dari memcuba kasut itu sendiri.

Itulah sebabnya aku mahu ada sepasang dua sandal. Untuk digunakan waktu berjalan dan membeli-belah.

Masalah major aku selalunya keliru. Bila niat aku mahu membeli sandal, aku akan ke seksyen kasut tinggi juga selepas melihat-lihat sandal dan tidak berkenan. Mencuba. Paling teruk, aku terus membelinya. Padahal fokus utama aku adalah membeli sandal. Stilettos aku lebih banyak dari sandal. Bukan selalu guna pun. :-(

Akan tetapi apabila terbeli sandal bertumit 1 1/2 inci. Pun sama juga kan? Macam beli kasut tinggi juga, kan? Cuma rendah sedikit saja.

Lepas ini nak beli sandal. Ingat ya, sandal! Yang flat dan senang disarungkan.

Selasa, 25 September 2007

Maaf, Aku lagi Emosi

Mungkin aku agak emosional di sini. Di entri kali ini. Walaupun aku cuba sedaya upaya membuang rasa emosional aku di dalam mana-mana entri. Di blog ini. Tetapi, sebagai manusia biasa, wanita terutamanya. Emosional dan aku umpama isi dengan kuku. Sukar untuk dipisahkan.

Seperti seluruh Malaysia tahu dan sedar serta sedih dengan kehilangan adik Nurin Jazlin yang didera secara seksual sehingga maut oleh haiwan bertopeng manusia yang patutnya dihukum dengan menyumbat anusnya dengan durian, memotong anunya dan membakarnya hidup-hidup itu, aku sendiri pun seperti seluruh warga Malaysia yang lain, menangis di depan kaca tv bila jasad kecil itu dikebumi.

Dan entri aku ini, tentang anak. Anak rezeki Allah.

Bila cerita tentang anak, aku jadi sensitif. Emosi. Bila bayi kena buang, aku marah. Bila lihat anak terbiar, aku marah. Bila lihat anak yatim, aku menangis. Lihat saja. Belum jumpa diorang lagi. Agaknya tak boleh jumpa anak yatim. Tangisan aku hanya menambahkan penderitaan mereka sahaja.

Masa aku mengikuti satu program self-development - Developing True Potential. Fasilitator di situ berkongsi pengalaman membawa anak-anak yatim ke Melaka. Bagaimana anak-anak itu memanggil dia ayah, bagaimana anak-anak yatim itu bermain, bergembira, makan. Dia menangis. Kalian imajinlah, anak-anak yatim itu dijamu 3 ketul ayam KFC. 1 dimakan, 2 disimpan. Katanya, sedap sangat Ayah. Nak simpan untuk makan malam. Entah bila boleh dapat makan lagi. Aku? Jangan cakaplah. Air mata aku non-stop.

Kak Ngah. Segala macam usaha telah dilakukan. Wang ringgit tidak menjadi persoalan. 7 tahun dia menunggu. Segala perlian, kata-kata orang yang menyakitkan hadam ditelan. Orang tak faham. Tak akan faham. Ada suatu hari dia ceritakan segala apa yang dia rasa dan sembunyikan pada aku. Aku dan dia sama-sama menangis.

Orang kata, aku masih teruja kerana anak buah baru 2 orang. Tetapi, bukan sebab baru 2 orang. Sebab kami sekeluarga lama menunggu. 4 tahun. Baru Atiya dan Yana datang dalam keluarga kami. Merekalah yang kami cherish, manjakan dan momen-momen bersama merekalah, kami hargai. Mereka racun, mereka penawar. Telatah dan kerenah merekalah menjadi penghibur kami sekeluarga. Pada mereka, aku curahkan segala kasih sayang aku. Buat sementara ini.

Sebab aku tak tahu, bila aku dah kahwin kelak, aku tidak tahu sama ada aku akan punya anak ataupun tidak...

Jika ada, alhamdulillah.

Jika tidak?

*sigh*

Khamis, 20 September 2007

Ada Apa dengan Nenas



Yana, dalam epal ada apa?

Biji epal..

Dalam nenas?

Aaaa.. ada pan bop que pen (Dia pelat sikit. Sepatutnya, spongebob square pants)

pan bop que pen
pan bop que pen
pan bopppppppppp que pennnnnnn
trutututrut tutu
{Nyanyi lagu tema Spongebob Square Pants}

Selasa, 18 September 2007

Lelaki Ini

Lebih dari separuh wanita-wanita di Malaysia ini sedang obses dengan lagu Lelaki Ini, nyanyian Anuar Zain, dan mengharapkan lelaki-nya mendedikasikan lagu itu kepada mereka.

Haha.

Lelaki ini
Yang selalu mencintamu.
Selalu.
Tanpa ragu.


Selain dari lirik yang mudah dan mencairkan hati wanita. Dinyanyikan oleh Anuar Zain sahaja sudah mampu buat wanita-wanita di Malaysia ini pengsan dan histerikal.

Diman siap dedikasi kat awek dia lagi. Huhuhu. Dengkinya aku!

Oh, aku tahu lelaki-lelaki normal akan berkata, Apa neraka Anuar Zain? Gay ok!! Eleh, dengkilah tu. Hahaha.

Dia

Smell of your skin, linger on me now...

Bait-bait lagu Fergie, "BIG" Girl yang menangis, tetapi tak mahu mengaku itu, menusuk jauh dalam hati aku. Serta-merta, aku teringat dia. Dia dengan senyumnya. Manis.

Berulang-ulang bait lagu itu bergema ditelingaku. Berulang-ulang jua aku putarkan kenangan demi kenangan aku bersama dia. Dia dengan matanya. Tajam.

Aku pejam mata. Menghayati lagu dan cuba mengecap semula kenangan manis bersama dia. Bayangannya terlalu jelas di ruang mata aku. Tawanya, guraunya, usikannya dan semua tentang dia. Dia dengan genggaman jarinya. Erat.

Aku mengukir sebaris senyum. Teringat waktu-waktu rajukku, dia sabar dan cuba memujukku. Memelukku. Memegang pipiku. Cuba meyakinkan aku.

Ada rasa rindu menyelinap dalam dada dan menyesak-nyesak. Rindu. Sepatah perkataan itu aku sebut dan mataku terbayang hanya dia.

Sesekali, terlintas dalam fikiran. Salahkah aku mengingatkan dia? Gilakah aku hanya terbayangkan dia? Dan mengapa? Mengapa hanya dia yang terbayang di ruang mata?

Gila!

Aku gilakan dia.


Note : Entri-entri di bawah label fiksi hanyalah imaginasi penulis. :-)

Jumaat, 14 September 2007

Ghost Whisperer : Lupa Tarikh

Sebenarnya aku kurang menonton siri-siri di kaca TV, kecuali Gol & Gincu. Dulu, antara menjadi kegemaran ialah CSI, Smallville, Charmed dan Desperate Housewife. Ha, imajin la berapa lama aku tak layan siri TV sekarang ni? Aku sering keluar malam. Dalam seminggu 2-3 kali. Bila terlepas satu-dua episod, aku jadi malas nak layan episod-episod seterusnya. Tambahan pula, ada siri-siri yang aku suka, macam Smallville dah jadi ridiculous. Menyampah pula nak tengok. Sebab itulah kawan-kawan aku yang rajin tengok siri TV bercerita, aku ternganga.

Tapi kadang-kadang layan juga. Waktu-waktu tak keluar merayap di malam hari dan bosan dengan filem-filem yang ditayangkan di Astro berulangkali.

Malam itu, aku entah bagaimana, tukar-tukar channel TV, dan tertayanglah Ghost Whisperer di kaca TV. Ya. Aku tahu Jennifer Love Hewitt yang panas itu berlakon dalam siri itu sebagai watak utama. Aku statik di depan TV. Jika aku tak tengok cerita itu tentang apa, aku perhati baju-baju terutama baju tidur yang JLH pakai sepanjang cerita itu ditayangkan. Haha. Hey, puasa ni. Jangan imajin lebih-lebih ok!



Malam itu, episod The Night We Met di mana Melinda menyelesaikan masalah seorang lelaki yang mati terbakar di dalam restorannya. Sampingannya pula, flash-back perkenalan dia dengan Jim.

Aku tak kisah bagaimana dia menolong si mati itu cross-over, tetapi.. tetapi.. nak tengok apa konklusinya bila seorang lelaki terlupa tarikh perkenalaan mereka. Lelaki kan sering lupa tarikh~

Aku benar-benar fikir Jim terlupakan tarikh mereka berkenalan. Mereka keluar untuk pertama kali dan makan di Umbrella Room, yang rupanya gerai hotdog di tepi jalan. Kalau kat Malaysia, boleh buat cerita seperti itu di gerai burger pula. Kadang-kadang romantik juga. Asyik makan kat hotel saja tak mampu la aku weh.

Pada hari ulangtahun itu, Melinda memberikan Jim replika Umbrella Room. Jim tanya, apa istimewanya hari itu. Tak kan Melinda nak beritahu? Melinda hanya katakan tiada apa yang istimewa. Hey, aku pun tak beritahu tau. Kau, lelaki - MESTI ingat tarikh penting OK!

Tetapi, Jim tak lupa kerana di dalam closet, rupanya terletaknya payung Melinda yang rosak waktu pertemuan mereka hari itu.

Dengan mata yang berkaca-kaca, Melinda berkata, "I thought you forget." Jim senyum dan berkata, "How can I forget?", sambil kiss Melinda. Damn sweet! Sampai aku pun menangis sekali. Ah, bukan aku seorang saja yang menangis tau! :-p

Biasanya lelaki memang lupa tarikh-tarikh penting ni. Dulu, sekali si teman-lelaki pernah terlupa birthday aku. BIRTHDAY ok! Kalau tarikh jumpa tu, lainlah cerita. Ini birthday. Aku marah. Tapi rajukku reda bila dia belikan kek black-forest sebagai tanda maaf. Hik Hik. Sweet la kononnya.

Lupa tarikh adalah suatu perkara yang tidak dimaafkan. Ingat ya lelaki. :-)

Khamis, 13 September 2007

Dah Habis

Sembilu Kasih sudah habis. Hari Ahad hari tu, episod penghabisan. Phew. Akhirnya.

"Kakak punya anak. Dari dalam perut lagi sampai dah empat tahun sekarang ni. Baru Sembilu Kasih ni habis." Seorang kakak yang kami temu di Rasa Alamanda yang menayangkan minit-minit terakhir kekecewaan seorang Fendi, ramah bercerita. Kami berempat tergelak-gelak. Membuat beberapa ulasan terakhir selepas sinetron paling lama di Malaysia itu tamat.

Manjalara pun dah habis semalam. Aku dan Daun, mesej-mesej dialog-dialog antara Joff, Es dan Manja di KL Sentral.

"Amyz, you dah dapat apa yang you nak selama ini. Tapi I tau, I bukan dalam list tu."

"Bagitau I kenapa I tak perlu pergi? I perlukan you Amyz. I love you. I perlukan masa untuk mengubat hati I. You pernah buat gitu. Sekarang I need that."

Es pergi membawa hati. Joff juga pergi membawa diri. Manja menangis-nangis. Aku tahan sebak di dada. Huk huk.

Akhirnya. Aku skip apa terjadi selepas pemergian Es dan Joff. Manja pergi bercuti entah di mana ada mat dan minah saleh sesat. Mungkin nak menunjukkan yang mereka di luar negara, kononnya. Tetiba ada orang lemas di kolam. Manja dengan hebatnya berenang untuk menyelamatkan lelaki itu. Ah, klisenya aku boleh dapat agak yang diselamatkan itu Es. Tapi aku tak sangka pula Es propose Manja di kolam tu. Auuwww.. Sweet!! Dengkinya aku. Maka, tamatlah Manjalara 1.

Alamak. Semua dah habis. Sinetron apa pula aku nak kutuk-kutuk selepas ini?

Rabu, 12 September 2007

Klik-Klik


amyz
Originally uploaded by sinaganaga
Ini yang dikatakan "capture the moment". Fotografi adalah bagaimana anda mengambil momen-momen untuk diabadikan sebagai kenangan. Bukan mengambil satu lakonan.

Selasa, 11 September 2007

Baca Personaliti II

Lazu, Tifani Teh, 13May dan Tuan Tanah. Anda secara sukarelanya mahu menjadi tikus makmal aku. Terima kasih. Maaf, tiada saguhati yang akan anda terima melainkan ilmu secara percuma. Ok kan? ;-) Err.. Effa, kau mahu uji juga tak?

Ujian pertama.
Pilih bahagian A(Slow+Work), B(Slow+People), C(Fast+Work) atau D(Fast+People) dengan berpandukan soalan ini: Bagaimana anda melakukan kerja anda, Slow atau Fast? Atau adakah anda pentingkan kerja (Work) atau orang lain(People-oriented)?

Respond di kotak komen dan aku berikan jawapan personaliti anda selepas itu.



Kebaikan ujian ini adalah untuk mengetahui potensi anda dan kerjaya mana yang sesuai dengan personaliti anda.

Ujian kedua.
Err. Aku rasa tak sesuai nak jalankan ujian ini kerana err.. tak sesuai. Sebenarnya aku tak mahu membaca potensi kehebatan kalian di ranjang. Hahaha.

Oh ye. Kalau pembaca lain mahu cuba pun, tak salah. Aku tak pilih kasih. Sila respond di kotak komen.

Aku akan berikan keputusan personaliti kepunyaan aku di entri lain pula.

Jumaat, 7 September 2007

Apa ada dengan Buku?

Ok. Aku tahu ramai yang mabuk dengan Shelfari. Perkara baru memang sentiasa menjadi perhatian. Macam lelaki ada isteri baru juga. Mana nak beri perhatian pada perkara lain.

OK. Koleksi buku aku bukan banyak sangat. Dulu yang ada beli pun koleksi novel-novel remaja yang sejam-dua dibaca dah boleh habis. Oh ye, aku memang speed-reader. Lepas itu aku bosan dengan buku. Tak ada pengaruh yang besar untuk aku membeli buku. Lainlah kalau beli kasut.

Ada juga baca-baca buku. Itupun pinjam kawan-kawan. Balik-balik novel cinta. Balik-balik novel cinta. Bosannya.

Kadang sifat aku juga pun satu. Sentiasa mahu mencari sesuatu yang boleh menghiburkan hati aku. Bila aku baca buku-buku yang penuh konflik, emosi. Aku rasa hidup aku dah penuh dengan konflik. Tak mahu tambah lagi satu konflik.

Tapi, aku rasa aku dah cukup dewasa untuk hadapi segala konflik. Alah bisa, tegal biasa.

Sejak kawan aku yang jauh kat daerah London tu memberi cadangan buku-buku yang perlu aku baca, aku mulai mengumpul dikit demi sedikit buku-buku. Sekurang-kurangnya ada. Dari tak ada langsung.

Pinjam kawan-kawan? Oh, tabiat lama sukar ditinggalkan~ Maaflah.

Khamis, 6 September 2007

Asalkan Dia Ada

Dia ada. Setiap waktu pun di sisi aku. Tak apalah jika aku tak bercakap dengannya. Tak mengapalah jika aku tidak bergurau dengannya. Tak kisahlah jika aku tak senyum padanya. Dia ada di situ. Tak pergi mana-mana pun. Kenapa perlu risau?

Ya. Dia duduk di situ. Ada di sisi aku. Sentiasa senyum dan selalu buat aku tersenyum. Indah. Romantis. Macam filem cinta yang aku tonton di tv dan wayang.

Asalkan dia ada disitu. Menjadi penghiburku, menawar kelukaanku dan mengubat dukaku. Aku bahagia. Asalkan dia ada.

Rabu, 5 September 2007

Baca Personaliti

Semua orang akan cuba membaca personaliti kita. Masing-masing. Cuba baca kau ini orang yang bagaimana? Panas baran kah? Romantis kah? Dan lain-lain lagi. Bila tekaan kau tepat, wah! Terujanya. Macam tok nujum boleh meramal-ramal kayaknya.

Pasti kalian ada baca tentang kajian Dr Fadhilah Kamsah tentang bulan dan personaliti seseorang. Kajian selama 10 tahun tu. Lama tau Dr Fadhilah Kamsah ambil masa untuk membaca personaliti orang. Kalian dapat ilmu tu tak sampai 5 minit pun.

Tapi sifat-sifat tersebut tidak secara keseluruhan. Hanya persamaan yang ada antara beberapa orang yang lahir di bulan yang sama. Bagaimana jika tahun yang sama? Bagaimana jika tarikhnya bernombor genap? Bagaimana pula dengan tarikh bernombor ganjil? Mungkin lain personalitinya.

Aku pernah jumpa beberapa orang yang lahir pada bulan yang sama, tetapi berbeza personalitinya. Aku pun suka membaca personaliti orang. Tapi aku lebih suka bertanya sendiri pada orang tersebut. Bukan apa, dalam proses kenal-hati-budi ini, eloknya kita tanya sendiri. Kalau teka-teka bukan betul pun. Kita bukan ahli nujum nak ramal-ramal hati orang lain. Kan?

Minggu lepas sewaktu berkursus, ada dua-tiga cara diajarkan oleh fasilitator tentang mengenal personaliti seseorang. Aku nak buat ujian. Siapa sudi jadi tikus makmal? :-)

Selasa, 4 September 2007

Manja Konon

Kalau kau sering mengikuti siri Manjalara di TV3 setiap petang Isnin - Khamis, pasti kau kenal Auntie Zaza si Manja, lakonan Abby. Mula-mula dulu aku tengok siri ini, bila Abby muncul sahaja, aku jerit-jerit depan tv, Ya Ampunnnnnn.. Mangsa Fesyen!! Kau tahulah aku ini tak boleh tengok orang yang pakai baju tak kena tempat, masa dan keadaan. Aku gelar itu bencana fesyen.

Satu hal lagi ialah karektornya yang manja-manja dan gedik-gedik. Aduh, mula-mula tengok dulu memang meluat gila dengan Auntie Zaza ni. Sampai aku berdoa aku tak jumpa orang sebegini di dunia nyata. Biar hanya dalam tv sahaja.

Tapi.. Tapi.. Rupa-rupanya, wujud juga manusia seperti Auntie Zaza itu di dunia nyata ini.

Hamba Allah ini, aku tak mahu cakaplah siapa nama dia, demi menjaga maruah dia. Cerita benar dalam majalah Mastika pun tak cerita siapa nama sebenar mangsa atau pun pemangsa ye tak?

Sepertimana karektor Auntie Zaza dalam siri TV Manjalara sebegitulah dia. Cakap manja-manja, ketawa yang kecil dan menutup mulut, suka bergaya, pakai kasut tumit tinggi 2 inci hari-hari, tak pernah tak bersolek, bila diusik tersipu-sipu. Pergi kedai pun pakai kasut tinggi, for God sake!

Nasib baik dia tak berpakaian seperti Auntie Zaza - keluar berjalan pun nak pakai stokin warna merah jambu. Oh, bencana fesyen! Pengsan aku kalau dia pakai macam tu.

Kalau bercakap, mimik mukanya dengan tangan-tangannya. Seperti Auntie Zaza, kadang-kala siap bernyanyi-nyanyi lagi. Ah, tak mahu lah aku terangkan panjang lebar tentang dia di sini. Kau tonton saja Manjalara untuk mendapat idea tentang hamba Allah ini. Kalau tidak pun, nanti kita jumpa, aku boleh ajuk cara dia bercakap. Mahu?

Aku tidaklah mengutuk dia. Dia baik, cuma.. cuma.. Kan aku dah bilang tadi, aku harap aku hanya lihat orang seperti itu di kaca TV. Tapi antara dia dan Auntie Zaza, karektor Auntie Zaza dua kali lebih dasyat dari hamba Allah tersebut. Phewww..

Isnin, 3 September 2007

Kembali

September dah datang. Dah habis ganti puasa? :-)

Kursus tiga hari mengajar aku tentang keyakinan diri dan menetap matlamat masa depan. Dan, aku dapat tip-tip percuma dari fasilitator bagaimana mahu mendapatkan teman lelaki seramai 20 orang. Wow! Aku tak mahu cuba. Tarikan seksual aku dah cukup tinggi untuk dapatkan perhatian seorang lelaki setiap hari. Haha. Aku riak sahaja. Bukan betul pun. Jangan percaya sangat.

Sepatut-patutnya aku ke pejabat pada hari Khamis. Tetapi berita duka aku terima seawal pagi itu, isteri busu aku, adik ipar mak aku, ibu susuanku telah pulang ke rahmatullah. Innalillah hi wa ina ilaihi ra ji'un. Akibat tekanan darah rendah. Aku bercuti hari Khamis. Aku berkabung sehingga hari Merdeka.

Aku tidak ke Dataran atau KLCC atau Ikano Power Centre atau Putrajaya untuk menyambut Merdeka dan memuja bunga api. Tambahan pula, ayah bekerja di Dataran, untuk siaran langsung RTM. Bayangkan jika aku membonceng mat rempit dan terserempak dengan ayah di Dataran, bagaimana agaknya? Mujur aku fobia dengan motor dan aku benci Mat Rempit. Maka, tiadalah adegan drama yang terjadi di situ, di malam Merdeka itu.

Banyak perkara aku mahu cerita. Tetapi aku perlu selesaikan perkara penting sebelum aku mula menulis tentang cerita aku. Lagipun jika aku ceritakan semua, esok lusa aku sudah ketandusan idea. Jadi, tunggulah sehingga esok dan sambungan-sambungannya lusa, tulat dan seterusnya. Lagi pula Tuhan suka pada orang yang sabar, kan? ;-)

Cerita Lama Amyz