Isnin, 31 Disember 2007

Tiada Cuti di Tahun Baru

Tahun Baru tidak cuti di sini. Ganti cuti pada awal Ramadhan. (Insaf aku.) Pertama kali aku tak sambut tahun baru di KL. Kagum pada diri sendiri yang tak teruja dengan sambutan tahun baru kali ini. Mungkin dah tua kot.

Esok tahun baru. 2008. Esok tak cuti seperti tahun-tahun sebelumnya aku di KL. Esok ada kelas. Esok kena belajar.

Belajar..
Belajar..
Belajar..
ZZZZzzzz....

2008. Moga beri sinar dan harapan.

Sabtu, 29 Disember 2007

Pasca Gathering

Gathering Geng Jurnal 2007

Tema : Berhimpun jangan sampai kena tangkap.

Senarai penerima anugerah dan laporan ada di sini

Yang seronok didengar: Plak yang ditempah tu cantik betul. Untung para penerima anugerah (Hik!Hik). Buku aturcara yang comel. Mug yang comel. Makan yang sedap. Tempat kecil yang best. Hadirin yang sporting dan best. Pehhhh!! Rugilah siapa tak datang tu. Hahaha.

Selasa, 25 Disember 2007

Toast Goodbye for Kuala Lumpur

Hari Krismas. {Mana wine aku untuk memberi toast ini?}

Hari terakhir di Kuala Lumpur. Sebelum memulakan takdir baru di Universiti Selatan, Johor sebagai seorang pelajar. Selama 3 tahun. Ini merupakan cita-cita yang belum terlaksana. Impian sejak 4 tahun yang lalu.

Sebelum itu, mahu aku pinta maaf pada semua kawan. Aku tahu aku bukan seorang kawan dan teman yang baik. Aku sayang kamu semua. Kamu semua adalah kawan-kawan yang terbaik pernah aku ada. Maafkan aku yang serba kurang dan tidak sempurna ini.

Jadi, kawan-kawan. Doakan aku berjaya. Jangan titiskan air mata. Aku bukan berjuang darah tetapi berjuang dengan pen dan kertas. Redhakan aku pergi dari Kuala Lumpur demi sebuah cita-cita.

Terima kasih selalu ada untuk menemankan aku senyum, ketawa dan menangis. Marah pada aku. Nasihatkan aku. Tegur-kritik-keji aku. Dan selalu mampu menerima aku seadanya.

Tak apa. Johor-KL bukan jauh sangat pun. Kan? Ada juga alasan untuk kalian datang beronggeng di Johor nanti. Hihi.

Bye KL for now. Jumpa waktu gathering nanti. Insya Allah. :)


Aprisiasi untuk teman

Dengar lagu Elyana, Kalis Rindu ini. Kelakar dan kiyoot!! Aku dedikasikan untuk kalian. Hihi. :)

Isnin, 24 Disember 2007

Ra_ja_La_wak

Aku telah mencemarkan kesucian blog aku dengan menulis perkara yang hina ini. Ohh! Tidak!! Inilah sehina-hina perkara pernah aku tulis.

Cuma aku dah tak sanggup lagi mahu menerima kenyataan bahawasanya manusia-manusia bebal di luar sana sanggup memperbodohkan diri demi mengutip wang mudah dengan menyertai Ra_ja_La_wak.

Aku rasa nak menangis-nangis melihat mereka diujibakat untuk menyertai rancangan realiti Ra_ja_La_wak yang aku rasa tak lawak pun. Lawak apa yang mereka cuba hiburkan penonton ini? Lawak bodoh? Lawak basi? Lawak tiru? Ya ampunn..!! Dengan kostumlah. Dengan make-uplah. Tolonglah! Kalian memperbodohkan diri untuk ditertawakan oleh orang lain. Bukan buat membuat orang lain tertawa.

Untuk menjadi pelawak yang bagus, kalian perlu tahu untuk menjadi stand-up comedian yang bagus. Untuk menjadi Stand-Up Comedian yang bagus, kalian belajar dengan Jit Murad, Harith Iskandar atau Afdlin Shauki. Tidak pun tontonlah bagaimana Pablo Francisco menggeletek hati penonton. Tanpa memakai kostum yang memperbodohkan rupa kamu yang sedia hodoh itu pun!

Hiiiii.. Sengal!!

Sabtu, 22 Disember 2007

Red Is My Color

Ambil dari sini. Kewl!!



You are Red Tiger who is friendly and cheerful person.
You tend to be straight forward, and are kind and generous to others.
Generally speaking you are philanthropist, and you possess feminine attraction that makes men turn around.
When you are young, you have gentle and pure atmosphere, but as you get older, you start to show individuality.
Your personality will turn into someone who likes taking care of people, tolerant, and bold.
Unlike your friendly outlook, you have rational mind, and can even observe your parent objectively and coolly.
You don't like to be adventurous, and prefer to lead consistent life.
But you hold great ideals.
You don't try to act actively, and keeps your own pace.
You are not influenced by emotions, and can live life with perseverance.
Your weakness is that you tend to be inconsistent and lack responsibility.
You can stand on top of people and look after the others.
You have great talent in making the atmosphere lively and cheerful.
You dislike being given instructions and told what to do.
After getting married you will create a warm family, but you will still like to work outside too.


Tapi mesti ingat, sifat manusia ini berubah-ubah. Yang diatas mungkin hanya sifat-sifat asas sahaja. Kita sendiri tahu had mana kemampuan dan keupayaan kita. Aku memang suka push myself to limit. Cuma kadang-kadang malas selalu menghalang kita berjaya. Ha.. itu sifat-sifat yang perlu diubah tu! ;-) Hihi.

Jumaat, 21 Disember 2007

Tak Faham

"Susah nak faham lelaki ni!" Rungut seorang kawan.

Aku senyum. Senyum sahaja. Sebab satu; termasuk kawan aku itu, sudah ramai wanita pernah merungut perkara ini pada aku. Sebab kedua; wanita ini sebenarnya mahu lelaki memahami kehendaknya.

Hihi.

Sebenarnya, aku dapati bukan sukar untuk memahami lelaki. Senang. Tetapi, isu di sini lebih kepada bagaimana mahu membuatkan si lelaki fahami wanita?

Tahu-tahulah wanita ini. Semuanya pakai hint. Semua pakai petunjuk. Mahu lelaki fahami sendiri kehendak kita, dengan hanya memberi sedikit hint? ("Apa neraka??!!" Kata si lelaki.)

Wanita ini sinonim dengan sifat berselindungnya. Mahu berterus-terang bukan cara wanita. Mahu berkata pun ada lapis maknanya. Tidak secara lurus. Lelaki sampai garu kepala tidak tahu bagaimana untuk memahami wanitanya.

Nasihat aku. Lelaki, jangan percaya bila kamu bertanya, kenapa? Wanita itu menjawab, "Tak ada apa-apa," dengan nada suara yang bukan biasa. Kamu terus diam dan buat tidak tahu. Lagi si wanita sakit hati dan cakap, tak fahamlah lelaki ni!!

Aaa.. Macam mana nak faham lelaki? Senang! Biarkan sahaja dia dengan hobi/kerjayanya (asalkan bukan perempuan lain) tanpa gangguan emo-merajuk kita, wanita.

(Ya, wanita - kita ini kena faham lelaki. Sebab lelaki sampai mati pun sukar nak faham kita.)

Isnin, 17 Disember 2007

I'm Not Plastic

Plastik di sini bukanlah bermaksud beg plastik yang kamu dapat bila kamu membeli-belah di Tesko atau Kapo atau kedai runcit biasa. Jika kamu cuma beli satu-dua barang yang boleh dipegang, pastikan kamu tidak meminta beg plastik. Kerana plastik sukar dipupus dan mencemar alam sekitar. (Nasihat ini dibawakan oleh Kem-Sumber-Asli&Alam-Sekitar).

Plastik yang aku maksudkan di sini ialah, kepandaian seseorang memboleh-ubah wajahnya, cakapnya, senyumnya agar manis sentiasa walaupun di hadapan orang yang tidak disukai.

Macam wartawan. Macam artis-artis. Kau ingat mereka itu semua suka ke antara satu sama lain? Semua tu plastik saja tu. Plastik.

Aku ini pula, pabila sekali sudah mendapati seseorang itu annoying di mata aku. Aku tidak boleh ubah muka aku menjadi manis depannya. Senyum pun tak ikhlas. Aku tidak pandai. Obviously, kamu akan tahu aku tidak suka pada seseorang dari riak wajah aku just like that! Obviously!

Cara untuk menyelamatkan diri aku dari dikesan oleh mereka yang aku tidak suka ini, adalah dengan mengelakkan diri dari bercakap dengan mereka. Ataupun, tunduk. Ataupun buat kerja lain. Seboleh-bolehnya, aku tidak akan memandang wajah mereka bila bercakap dengan mereka kerana terpaksa bercakap. Aku rasa tidak selesa. Aku rasa annoyed. Paling teruk, aku tidak melayan apa pun yang mereka cakap dengan aku.

Peh! Susah siutttt nak berlakon untuk menyukai sesorang yang tidak aku suka!

Sabtu, 15 Disember 2007

Pilih dan Putus

Aku selalu kata pada diri aku; hidup ini banyak pilihan. Kita hanya perlu pilih yang terbaik untuk diri kita sendiri. Aku percaya itu. Hidup atas pilihan sendiri. Jika silap langkah, jangan salahkan orang lain. Salahkan diri sendiri.

Sejauh ini, aku selalu membuat keputusan sendiri tanpa fikirkan tentang orang lain. Keputusan hidup aku sendiri. Satu kes di mana ayah menyuruh aku mengambil jurusan akaun selepas SPM tetapi aku membantah. Aku ambil bidang IT.

Seorang kawan. Hidupnya ditentukan oleh ibu-bapa. Ambil ijazah apa ditentukan oleh ibu-bapa. Banyak keputusan hidupnya bergantung kepada ibu-bapa. Eh, aku tidak salahkannya pun. Berkat hidupnya kerana ikut cakap ibu dan bapa tahu!

Cuma aku tidak suka satu sahaja tentang dia. Oleh sebab terlalu mendengar kata ibu-bapa, dia tidak pandai membuat keputusan sendiri. Itulah satu-satu kelemahannya.

Bayangkan, jika aku ambil bidang perakaunan yang aku tidak minat itu. Ambil ijazah dan bekerja dengan persekitaran akaun. Ya Tuhan. Pasti aku tidak dapat bekerja dengan ikhlas. Terpaksa kerana itu saja kelulusan yang ada. Dan seribu satu perasaan gundah dalam hati kerana terpaksa membuat sesuatu yang aku tidak suka.

Sepertimana keputusan aku untuk kahwin nanti. Aku tak mahu memaksa dan aku juga tidak mahu rasa terpaksa.

Aku sudah buat keputusan yang mana tidak boleh diubah lagi. Take it or leave it.

Jumaat, 14 Disember 2007

2 Tahun Lebih Muda Pun Tak Apa

Wanita sensitif terhadap dua perkara. Berat dan usia. Percayalah. Wanita akan mula berdiet sekiranya ada orang katakan pada dia, dia nampak berisi. Begitu juga dengan usia. Wanita akan risau jika orang teka usianya lebih tua dari umur sebenarnya.

Untung kawan aku ini, senantiasa nampak ringan dan muda. 18 tahunlah katakan. Itupun ada cubaan untuk berdiet. Marah betul aku!

Maka, tidak hairanlah produk-produk anti-aging tumbuh melata seluas alam sekarang ini. Trend baru wanita masakini untuk nampak lebih muda (agar suami tak cari gadis muda ranum dan bergetah dan montok). Dari produk mahal sehingga yang murah-murah. Even produk minuman pun sudah ada kolegen. Untuk muda dengan cara mudah. Duh!!

Selama ini, aku tidak pernah. Malahan tidak suka pun meminta orang meneka umur aku. Payah sangat. Biar aku terus terang sahaja. Tak mahu juga sakit hati sekiranya mereka meneka umur aku lebih tua dari usia sebenar. Haha. Kan, diri sendiri juga yang sedih? Baik terus-terang sahaja.

Dan kita akan rasa lebih-lebih baik (much more better) bila kita dah beritahu usia kita, mereka terkejut dan berkata, "Eh, eh. Ingatkan 20++*." (* 20++, maksudnya mereka meneka umur kita muda dari usia sebenar.)

Seperti kejadian di kaunter pusat membeli-belah semalam. Entah kenapa, bila ditanya tentang usia. Aku meminta Sale Assistant itu meneka. Aku tidak pernah meminta sesiapa pun meneka usia aku. Selalunya aku terus-terang saja. SA itu kemudiannya meneka usia aku 2 tahun lebih muda dari usia sebenar buat aku rasa much-much-much more better. Dan aku terus beli produknya tanpa fikir-fikir panjang. Haaa.. percaya tak kuasa usia pada wanita?

Nota: Selalunya begitulah. Orang akan teka usia aku muda 2 tahun dari usia sebenar. 2 tahun lebih muda pun tak apa. Asalkan nampak muda. Kan? Hahaha.

Isnin, 10 Disember 2007

Pupus II

Dalam bilik mesyuarat yang dinginnya sehingga menusuk ke tulang hitam. Brr.. Brrr.. (Menggigil) Puan Boss sedang berkata-kata dan terus berkata-kata tanpa mempedulikan dinginnya bilik dan mereka yang menggigil.

"Sekarang kita mempersilakan staff baru kita, Encik A memperkenalkan diri. Tepuk. Tepuk."

Uh! Bestnya. Staff baru lelaki, beb!
Muda lagi tu. Sweet juga.

Ehem. Ehem.

"Nama saya Encik A, berumur 26 tahun, pengalaman kerja bla.. bla.. bla.. Status, sudah pun dah berkahwin.."

"Alaaaaaaaa..." *suara-suara kecewa kedengaran.

HAHAHA.


Moral : Jangan diam di pejabat yang majoritinya wanita yach! (Pesanan ini untuk wanita. Diulangi, untuk wanita!)

Jumaat, 7 Disember 2007

Fikir-Fikir


".. kita tidak perlu takut dengan tekanan dan ujian. Kerana tekanan dan ujian membentuk benda secantik berlian.. " Fashionita, Eh Nov 07, Saharil Hasrin Sanin.


"..A pessimist sees the difficulty in every opportunity; an optimist sees the opportunity in every difficulty.."
Winston Churchill


"..Ever has it been that love knows not its own depth until the hour of separation.."
Kahlil Gibran


"..The cruelest lies are often told in silence.."
Robert Louis Stevenson


"..Dance like it hurts,
Love like you need money,
Work when people are watching.."
Scott Adams (1957 - ), The Way of the Weasel


"..Always laugh when you can. It is cheap medicine.."
Lord Byron


"..Homer: [Looking at a globe map...country being Uruguay]
Hee hee! Look at this country! 'You are gay.' .."

Khamis, 6 Disember 2007

Kalau Minat Pun

Walaupun aku minat gila-gila-gila pada Anuar_Zain. *pengsan*. Tetapi tidaklah aku. Sekali-kali tidak;

1. Pasang lagu Lelaki_Ini berulang-ulang dari waktu masuk kerja sehingga waktu habis kerja.

2. Letak mp3 Lelaki_Ini menjadi nada dering panggilan dan nada dering mesej. Bila dapat panggilan dan mesej. Bergemalah suara Anuar_Zain memecah sunyi pejabat sejuk ini.

Lelaki ini yang selalu menyintamu...

Serius. Aku kira hampir 100 kali lagu itu diulang-ulang dari pagi. DENG!!

Minat aku tak akan pudar pada Anuar_Zain. Tetapi aku sudah muak tahap nak muntah darah atas papan kekunci dengan lagu Lelaki_Ini. Bukan satu itu sahaja lagu Anuar_Zain pun, OKE!!

DOUBLE DENG!!!!

-----------------------------------------------------
Sayang, pergi kedai dan dapatkan Berita Harian dan Utusan Malaysia untuk merasakan kerugian kamu tidak hadir ke MASKARA 5. ;-) Jika kamu hadir, terima kasih! Kamulah lelaki/wanita yang paling kacak/anggun sekali. (Potong mana yang tidak berkenaan)

Dan jangan lupa klik di sini dan sahkan kehadiran untuk bertemu selebriti blog pujaan kamu. Info Gathering Geng Jurnal 2007 di sini.

Selasa, 4 Disember 2007

Provokasi Wanita

Perempuan.. Perempuan.. Memang sangat suka menguji lelaki.

"Tahap kompentasi ke berapa awak sayang kat kite?"
"Kalau kite tak ada di sisi awak, awak resah tak?"
"Ingat tak baju apa yang kite pakai, kaler apa, waktu pertama kali kita jumpa?"
"Perempuan itu lebih cantik dari saya. Awak nak tak kat dia?"

Soalan-soalan provokasi seperti ini bisa buat lelaki garu kepala mahu mencari ayat sesuai yang mana untuk dijawab pada kekasih pujaan hatinya. Agar si teman wanita tercinta tidak kecil hati, tidak merajuk, tidak marah, tidak melenting, tidak emosi dan tidak memuncungkan bibir mongelnya.

Tetapi itulah perempuan. Suka sangat menguji lelaki demi untuk membuktikan cinta mereka.

Maaflah. Aku perempuan. Dan sebagai perempuan, aku memang begini. Penuh provokasi.

Ahad, 2 Disember 2007

You Want A Gum, Sol-Jah?

Writer and I 07

Writer and I 06

Wah, aku antara orang yang pertama. Sangat bertuah! Dapatkan blook istimewa Sinaganaga secepat mungkin. Edisi terhad.

Sesuai dengan tajuknya, Wanna Gum, Sol-Jah? Terdapat beberapa siri gum di dalam blook ini. Gam Kanji, CowGum, Gum Robot, Hidu Gam dan akhir sekali Gam Gajah sebelum Tutup Gam.

Aku tak mahu review dengan banyak kerana aku masih menahan tawa dan air mata akibat membaca You Want A Gum, Sol-Jah.

Satu sahaja perkataan aku untuk Naga. Dia selalu ketawa bila aku ucapkan perkataan ini kepada dia.

KEJI!

Maksudnya, I love you too Naga.

Hahahaha.

Sabtu, 1 Disember 2007

MASKARA 5 Malam Perempuan-Perempuan

Malam Perempuan Perempuan

Cerita tentang MASKARA 5 di sini. :-)

Jumaat, 30 November 2007

Lari

Kadang-kadang, kita selalu fikir dengan larikan diri, dengan keluar dari KL, dengan pergi parti atau dengan berseronok, satu-satu masalah kita akan selesai.

Tapi bila parti dah habis. Bila balik semula ke KL. Bila waktu seronok selesai. Dan bila dah sampai rumah. Masalah tu muncul balik. Menghantui fikiran kita. Dan kita buat kita rasa nak keluar dari masalah itu dengan berseronok balik.

Ya, berseronok itu bagus dari meratap hiba sendirian di rumah. Ye tak?

Pusing-pusing-pusing. Masalah tak akan selesai sampai bila-bila.

Sehingga.

Kita beranikan diri berdepan dengan masalah itu dan cuba menyelesaikannya.

..dan ku beranikan diri.. berlari. mengejar bayanganmu. yang datang menghantui setiap malam ku..

Selasa, 27 November 2007

Sesat

Jangan percaya sangat dengan Google atau mana-mana enjin carian. Ia kadang-kala mencari sesuatu yang tiada di dalam blog aku.

Blog ini tidak mengandungi unsur-unsur atau perkara-perkara seperti di bawah :
1. Tarikh lahir Fadhilah Kamsah
2. Personaliti ikut zodiak
3. Sek*s
4. Anak angkat
5. Iklan raya paling sedih
6. Kempen budi bahasa
7. Anuar Zain Gay
8. Sayang awek
9. Downpayment kereta kancil guna kad kredit
10. Zodiak dan horoskop

Yang paling aku kelakar; Cari teman lelaki. Adik sayang.. Jangan cari teman lelaki di blog akak. Tak akan jumpa. Kalau nak teman lelaki, akak ada seorang calon sesuai. Nama dia Iwan. Sila lawat blog beliau.

Ramai juga orang yang sesat ke blog aku bila meng-google perkataan-perkataan seperti di atas.

Aku mengaku. Aku ada tulis tentang perkara di atas kecuali sek*s. Lagi pula ianya hanya perkataan. Bila Google lihat ada kunci perkataan yang sama, lalu ia pun menyenaraikan blog aku ke dalam senarai carian. Hanya perkataan. Tanpa makna.

Walaubagaimanapun, terima kasih atas lawatan kalian sekaligus menaikkan hit pelawat aku. Haha.

Bagus sitemeter ini. Dia beritahu aku info orang yang melawat blog aku. Terima kasih sitemeter! Walaupun kalian masuk blog aku tak tinggal pesan. Tinggalan jejak kalian, sitemeter aku simpan.

Sesat-sesatlah lagi di sini. ;-)

Isnin, 26 November 2007

PS I Love You

Pernah baca novel PS I Love You, tulisan Cecelia Ahern?

Ia akan difilemkan! Seperti In Her Shoes, The Devil Wear Prada, aku rasa sangat teruja untuk menyaksikan PS I Love You di sinema.

Dalam menghadapi kehilangan orang yang tersayang. Yang ditinggalkan hanya nota-nota kecil untuk Holly Kenedy meneruskan harinya di samping pesanan; I love you pada setiap nota. Aku tak sabar untuk menonton bagaimana Hillary Swank mendalami setiap emosi Holly Kenedy.

Aku baca buku ini dengan air mata dan tawa. Ya. Aku emosional! So?

Rujuk :
Official Website
Trailer

Sabtu, 24 November 2007

Dia Sayang Kamulah

Kamu merungut-rungut dia tak beri perhatian pada kamu. Kamu merajuk-rajuk dia tak luangkan masa dengan kamu. Kamu juga marah-marah bila dia pentingkan kerja dan kawan-kawan dari kamu.

Tapi kamu tidak tahu dia sayang kamu dengan cara dia sendiri. Dengan cara dia. Bukan cara kamu.

Kerana kamu menyayangi dia dengan cara yang lain. Dia pula menyayangi kamu dengan cara lain. Bukanlah bermakna dia tidak menyayangi kamu. Dia sayang. Cuma caranya lain.

Dia bagi perhatian pada kamu. Dia fikir tentang kamu. Dia sanggup kena marah dengan boss dia kerana mahu berjumpa kamu. Dan ada beberapa perkara dia sanggup lakukan untuk kamu. Tetapi kadang-kadang itupun kamu susah nak hargai.

Lagipun waktu mula-mula kamu menerima dia, adakah kamu menetapkan syarat bagaimana untuk menyayangi kamu? Tidak bukan?

Jadi, terimalah cara bagaimana dia menyayangi kamu, walaupun berbeza dari cara kamu. Asalkan dia menyayangi kamu. ;-)

Rabu, 21 November 2007

Terapi

Adakah wanita-wanita ini akan lebih tenang apabila menjalankan terapi-retail atau dalam erti kata lain, membeli-belah adalah satu aktiviti yang mengurangkan stress?

Terpulanglah apa kata kocek kamu!

Kalau duit dalam akaun bank kamu tak pernah-pernah surut. Dan kad kredit kamu ada orang yang membayarkan bilnya. Retail-therapy ini mungkin boleh membantu kamu merawat stress.

Kalau semekin* macam aku ini. Retail-therapy hanya akan menambahkan stress bilamana aku membuka wallet atau memeriksa baki duit di akaun bank. Di mana bakinya hampir buat aku menangis atau meraung-raung macam serigala. Dan pada waktu itu serasanya seperti mahu kahwin dengan anak dato' atau dato' atau tan sri. Malangnya wajah tak secantik waima se-hot model Perancis. Terpaksalah melupakan niat kotor tersebut.

Tetapi, wanita tetap wanita. Biarpun duit di dalam akaun hanya tinggal serdak sehingga gaji akan datang. Biarpun di wallet sudah kering-kontang. Gagah juga dia membeli-belah hatta untuk sepasang kasut atau sehelai t-shirt ataupun sehelai tudung yang cantik dan murah.

Syaitan dalam hati berbicara; "Ala.. murah saja ni. Hari gaji tinggal beberapa hari saja lagi. Tak apa."

Serius! Percayalah!

Sebab mereka akan rasa sedikit tenang selepas itu. :-)

Sepertimana aku~ Ops!!

Hey, ini ada satu kajian di London;

LONDON: Wanita lebih menghargai peluang membeli belah yang disifatkan lebih menyeronokkan berbanding mengadakan hubungan seks, kata penyelidik, seperti dilaporkan akhbar Daily Mail. more...


Whooaa. Aku rasa ramai suami orang di luar sana tersentap kalau kajian ini benar sekiranya dilakukan di Malaysia.

Sekarang kamu masih tertanya-tanya mengapa wanita suka membeli-belah? :-p

*semekin : miskin (Kalau guna perkataan miskin, nampak sangat tak berduit. Haha. Mohon maaf pada orang-orang sastera kerana telah merosakkan bahasa indah Melayu.)

Jumaat, 16 November 2007

Senyum Sikit

Hai, si cikgu yang bijaksana. Kalaupun nak baca email sebelum kelas bermula. Pastikan laptop saudara tidak bersambung dengan LCD yach!

Nasib baik kelas tak penuh lagi. Tetapi orang yang lalu-lalang di tepi kelas, seperti aku tadi boleh nampak kamu sedang baca email di akaun yahoo yang bertajuk; Rahsia Jutawan Muda. Nasib baik tajuknya Rahsia Jutawan Muda. Kalau lain dari itu, Haha. Aku tak mahu bayangkan lebih lanjut lagi.

Kalau aku nakal sangat, aku akan berhenti di tepi kelas itu, dan membaca email kamu tanpa kamu sedari. Tapi aku tak sejahat itu. ;-) Tak perasan agaknya. Lagipun si cikgu sangat kusyuk membaca email nampaknya. Haha.

Nota: Ada training perisian GIS di bilik komputer tempat kerja aku. Biliknya bercermin kaca. Selain dari boleh nampak cikgu sedang baca email, boleh nampak juga apa yang kawan-kawan aku buat sewaktu cikgu mengajar di hadapan. Contohnya, chatting. Hahaha.

Rabu, 14 November 2007

Si Cusp - yang Lahir Antara 2 Zodiak

Ya. Aku tahu. Ini satu lagi entri tentang sifat-sifat manusia. {TafTeh mesti geleng-geleng kepala}

Aku ada beberapa orang kawan yang lahir di antara 19, 20, 21hb - tidak kisah bulan apa pun. Yang mana mereka ini lahir di sempadan antara dua zodiak.

Aku sebagai seorang perempuan yang ekstra sensitif, aku selalu notice sifat mereka yang sering berubah-ubah. Selalunya aku sering keliru. Dan aku jadi ekstra berhati-hati dengan sebarang perubahan mendadak mereka.

Aku mula menyedari sesuatu apabila aku menilik tarikh lahir mereka. Kenapa tiba-tiba mereka berubah mood? Mengapa tiba-tiba mereka ada personaliti berbeza? Aku pun mula meng-google serta me-wiki.

Aku jumpa satu definasi untuk mereka yang lahir antara dua zodiak.

"Being born in between signs is Rasi Sandhi*. It is a Grey area. Traits of both signs are seen in a personality."

Ataupun dikenali sebagai cusp. Cusp merupakan terma di dalam astrologi yang bermaksud satu garis imaginari yang menyempadani antara dua zodiak.

Wiki oke! Wiki!

Seseorang yang lahir dalam sempadan dua zodiak selalunya mempunyai ciri-ciri yang terdapat dalam kedua-dua zodiak. Juga membuatkan mereka mempunyai personaliti yang unik. Dibawah pengaruh dua zodiak yang dinaungi membawa kepelbagaian dan perbezaan dalam personaliti dan emosi mereka. Jadi, bila anda membaca horoskop, anda kena baca kedua-dua zodiak sekali.

Sebagai contoh mudah, Aries ini sifatnya cergas, sedangkan Pisces sifatnya berhati-hati. Element Aries api sedangkan elemen si Pisces, tanah. Jadi kadang-kadang sifat agresif Aries dilambatkan oleh sifat berhati-hati Pisces. Gabungan api dan tanah menjadikan mereka kukuh dan sukar ditewaskan. Ferrrrr.....

Oke. Sekarang baru aku betul-betul faham tentang mereka yang lahir antara dua zodiak ini. Dan aku perlu ekstra hati-hati. Imajinlah mereka punya gabungan sifat dua zodiak. Hebat tau! ;-)

Ha! Pergi periksa tarikh lahir kawan-kawan kau, dan rujuklah mana-mana link yang aku berikan di bawah ini. Tak perlu susah-susah google lagi. :-)

*Rasi Sandhi is when a planet is moving from 36th degree to 1st degree of the next sign.

Rujukan :
1. Constellation Chamber
2. Born on Cusp written by Carol Squires, Astrologer
3. Astrology - Senarai sifat-sifat cusp mengikut gabungan dua zodiak.

Isnin, 12 November 2007

Cetek

Jumaat lepas kala malam, di kaca tv channel 3 menayangkan Shallow Hal. Aku pernah tonton filem ini di wayang sekali dan di vcd dua kali. Tapi ini bukan rebiu tentang filem tersebut.

Aku terfikir tentang manusia, atau kita semua ini, ada yang singkat akal dan cetek pemikiran. (Kadang-kadang aku jua begitu dalam sesetengah situasi.)

Aku rasa media dan persekitaran kita banyak membentuk fikiran kita. Mengset minda kita dan mahu membentuk acuan kita. Sekiranya kita ini tidak punya pendirian sendiri, nescaya kita akan terbentuk menjadi seperti apa yang persekitaran kita mahukan.

Ala. Macam mak, ayah, saudara-mara, jiran tetangga selalu bilang pada remaja-remaja yang baru lepas graduasi untuk isi borang sp_a untuk bekerja sebagai kakitangan kera_jaan. Kononnya masa depan dah terjamin dan senang nak dapat pinjaman. (Damn! aku pun dah terikut acuan persekitaran!) Itu satu contoh bagaimana persekitaran cuba mengset minda kita. Sedangkan ini hidup kita, kita yang tentukan halanya.

Dan aku cukup-cukup benci dengan iklan-iklan mencantikkan diri, memutihkan kulit, menguruskan badan serta mempunyai rambut panjang lurus berkilat. Semua itu cuba setkan dalam minda perempuan bahawa yang cantik, putih, kurus dan rambut lurus berkilat itu akan digilai oleh lelaki. Bukan set minda untuk perempuan sahaja, lelaki juga yang terpengaruh dengan iklan itu mempercayai bahawa itulah ciri-ciri wanita sempurna.

Oh, ceteknya pemikiran! Macam Shallow Hal. Hati dan budi yang baik - tidak lagi dipandang. (Hypnotize baru tahu!)

Tapi aku tak adalah suruh kalian boikot semua produk kecantikan dan menjadi selekeh. Wanita mana tidak mahu nampak cantik? Cantik tidak salah. Tetapi jangan biarkan kita terlalu obses dengannya. Terpengaruh dengan iklan-iklan tersebut. Sampai biarkan kita diacu menjadi sesuatu yang bukan diri kita.

Macam masyarakat kita yang terlalu percaya kerja kera_jaan ini menjamin masa depan. :-p

Ahad, 11 November 2007

Sorry, Blame It On Me

*Sambil baca entri ini, dengar lagu ini sekali oke?*


Kadang-kadang kita terlalu ego nak mengaku kita bersalah. Juga kita malu untuk menerima hakikat yang kita dah buat salah. Apabila itu berlaku, kita tak mudah mengucap kata-kata maaf.

Untuk ucapkan maaf terlalu sukar. Sorry seem to be the hardest word. Itu antara sifat-sifat buruk kita - manusia - yang perlu kita sedari. Kita akui.

Kenyataannya kita yang salah. Jadi, bertanggungjawablah dengan apa yang kita lakukan. Ucapkan maaf. Bukan susah sangat. Macam kita ni agung sangat untuk meminta maaf. Macam kita ni besar sangat dan sempurna tanpa ada buat salah.

Yang penting, kita dah minta maaf. Nak maafkan atau tidak, terpulanglah kepada dia. :-)

Well, lagu Akon, Sorry, Blame it on Me ni, menarik hati aku kerana kita tahu kita sukar untuk meminta maaf kepada sesiapa. Tetapi lagu ini menyatakan sebaliknya.

.. As life goes on I'm starting to learn more and more about responsibility
I realize everything I do is affecting the people around me
So I want to take this time out to apologize for things I have done
And things that have not occurred yet
And the things they don't want to take responsibility for..


Aku sedia menerima salah itu, dan maafkan aku, yach?

Rabu, 7 November 2007

Spontan

Kadang-kadang, bila hati sedang marah-marah. Hati sedang sedih-sedih. Datang seorang lelaki, senyum. Ajak aku kahwin. Haha. Aku gelak-gelak. Dia gelak-gelak. Aku tahu, dia tak serius. Dia suka buat lawak. Lawak spontan.

Aku suka lelaki yang spontan. Aku tak adalah maksudkan dalam semua perkara. Bukanlah semua perkara dia kena bersikap macam tu. Bahaya untuk masa depan. Katalah, dia ajak aku kahwin esok. Nak mati? Spontan sangatlah tu.

Spontan maksudnya; macam tiba-tiba orang hadiahkan kau CD Anuar Zain (Contohnya laa..) Sudah tentu hati kau berbunga-bunga ye tak?

Yang aku selalu wondering kenapa kebanyakan (bukan semua) lelaki susah sangat nak bersikap spontan. Lakukan sajalah. Kata sayang? Tapi, untuk lakukan sedikit surprise untuk orang tersayang pun, berfikir 5-6 kali.

Kadang-kadang, spontanlah sedikit. Kan?

Selasa, 6 November 2007

Benda Kecil yang Meretakkan Hubungan

Wah. Macam artikel dalam majalah saja tajuk aku ingin kupaskan kali ini. Ya, aku patut menulis untuk majalah-majalah fesyen macam Saharil. Naaa... Aku tak layak la beb!

Actually, Spyz ada bagi aku baca artikel bertajuk 'Fatal Habits', tulisan Hazel Parry. Spyz hulurkan artikel itu pada aku bila aku cakap, lelaki memang macam tu. Bila isterinya merungut tentang perangai dia. Haha.

You know something about woman?

They are like magnifier. See small thing, big. That's why!! {Ini pula Tok Rimau yang beri pada aku. Bila aku complaint lelaki macam bon kerajaan - lambat mature. Haha.}

Jadi, bila kamu lelaki - seorang yang ringkas, tak ambil port, kurang sensitif. Perempuan cepat rimas. Cepat marah dan cepat angin satu badan. Bila perempuan merungut-rungut di sebelah waktu kamu memandu, kamu buat muka stone. Dia akan rasa bahawa kamu tidak peduli tentang dia. Sound familiar, aight?

Benda-benda kecil seperti kamu, LELAKI suka buat. Fatal habit. Seperti menyepahkan cd-cd. Atau kamu tak tutup lampu bilik air. Atau kamu biarkan TV terpasang, sedang kamu tertidur di ruang tamu. Atau, segala pemberian si dia kamu letak di dalam laci, di bawah katil dan tempat yang si dia rasa kamu tak hargai pemberiannya. Atau, kamu membiarkan mug yang berisi nescafe semalaman di meja ruang tamu, dan semut telah menghurungi mug tersebut, tambahan pula mug tersebut merupakan mug pemberian si dia kepada kamu. Peh!!

Sakitnya hati si perempuan!

Tapi, aku bukan mahu bagi tips pada kamu ya. Si adam dan hawa. Aku mahu beritahu kamu lelaki, apa kata kamu berubah dan wanita, apa kata kamu tolong dia berubah.

Naga bagitau aku - tak logik sangat ayat : terimalah diriku seadanya. Kerana manusia berubah.

Kalau berubah untuk menjadi lebih baik, tak salah kan?

Fatal habit kamu - lelaki, sebenarnya selalunya dipandang berat oleh wanita kamu. Terkadang perkara itu membawa kepada putusnya dan retaknya suatu perhubungan. Oleh sebab sikap kamu yang selalunya memadang fatal habit kamu itu suatu perkara enteng!

Like you already know, woman are like magnifier, aight?

Nasihat aku satu : Berubah!

Rabu, 31 Oktober 2007

Hari Akhir Oktober

Esok masuk 1 November. Bulan kedua terakhir untuk tahun 2007. Akhir tahun hampir tiba. 2007 bakal berakhir. Tak lama lagi. Pejam celik. Pejam celik.

Naa.. Aku bukan seorang yang terlalu mengikut perasaan. Walaupun kadang-kadang aku begitu. Tetapi untuk masa depan, aku selalunya fikir untuk lakukan yang terbaik bagi aku menjadi anak yang baik untuk mak ayah aku.

Laut ada pasang surut. Hidup ada up and down. Langit tak semestinya cerah - Ah, aku dah hafal perumpamaan-perumpamaan seperti ini. Dah jelak.

Yang pastinya, cinta, hidup, selalunya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Jumpa lagi nanti.

Ahad, 28 Oktober 2007

Pupus

Aku berada di dalam dilema bilamana ada antara kawan-kawan perempuan aku yang bujang, comel, bekerja bagus, cantik, molek dan mempunyai masa depan yang cerah - sedikit sebanyak mengadu pada aku - mana nak cari teman-lelaki?

Well, they're not desperate sangat pun nak cari teman-lelaki untuk berkahwin, let say next year. Sebab perkataan KOMITMEN sangat menakutkan kaum adam, so I have to put that disclaimer here.

By the way, aku bukan match-maker. Yalah. Kalau apa-apa jadi nanti, takut pula mereka salahkan aku. I'm just trying to help.

Aku pun browse direktori dalam telefon bimbit untuk menyenarai-pendek calon-calon teman-lelaki untuk kawan-kawan aku itu. Manalah tahu ada nombor telefon kawan-kawan lelaki aku yang bujang yang bekerjaya tetap, kacak dan mempunyai masa depan yang cerah di dalam telefon ini.

Dah kahwin, dah bertunang, dah ada girlfriend, aku keluarkan dari senarai. Buat senarai pendek - lelaki-lelaki bujang sahaja. (Naga, kau telah out dari senarai ya!)

Lelaki-lelaki bujang - tak ada teman wanita, bekerjaya tetap, kacak, gentleman dan mempunyai masa depan yang cerah - di dalam direktori aku kurang dari 10 orang. Tolak 2-3 nama-nama yang aku tak sanggup nak telefon atas sebab-sebab munasabah. Ehehe.

Tinggallah beberapa nama. Kemudian, tengok umur pula, atas 26 tahun - Nil. Zero. Ceh! Macam mana nak match-maker kan dengan kawan-kawan perempuan aku?

Lalu aku buat kesimpulan untuk memberitahu kawan-kawan yang mahu teman-lelaki itu. Bahawasanya: lelaki yang kacak, bujang, berumur lebih dari 26 tahun, bekerjaya tetap dan mempunyai masa depan yang cerah. Sudah pupus. Dalam direktori telefon aku.

Er, kawan-kawan - mahu aku iklankan? ;-) Haha.

Rabu, 24 Oktober 2007

Crush

Define Crush :
a strong but temporary attraction for someone.


Tak adalah. Aku bukan mahu bercerita aku ada crush dengan sesiapa pun sekarang ni. (Matilah kalau buat confession!)

Cuma pada hari-hari cuti raya minggu lepas. Sewaktu memandu di kawasan rumah, aku terpandang seseorang yang aku kenal sangat semenjak usiaku 11 tahun. Berdiri di depan rumahnya dan bertertawa dengan rakan-rakan. He just a crush. My crush.

Dunia kecil aku sempit. Dia sahajalah lelaki paling kacak dalam hidup aku buat masa itu. Tetapi aku cuma the ugly duckling. Manalah dia nak pandang, ye tak? Dia, tentulah mengejar si cantik manis berkulit putih mulus dan rambut panjang bertocang dua. Aku? Si ulat buku yang comot hanya duduk di perpustakaan mengulit buku pada waktu rehat.

Tapi kami rapat. Itupun sebab dia nak tiru kerja rumah aku. Biasalah tu. Sehinggalah di sekolah menengah pun. Kami tetap bertegur sapa, walaupun tak rapat macam dulu-dulu. Dia makin dewasa dan makin kacak. Dan bertukar ganti teman-wanita. Aku pula, masih si pustakawan comot.

Sekarang ini, rasa crush dah lama hilang. Sejak bila aku tak pasti. Lama dah. Cuma bila terpandang dia waktu aku memandu di kawasan rumah, cuti raya lalu. Aku teringat hal ini dan senyum sendiri. Cerita terbarunya yang aku dengar. Sudahpun bertunang.

Dia masih kacak seperti dulu. Cuma.. cuma.. berisi 2 kali ganda dari dulu. Ibaratnya dulu badannya lebih kurang Fahrin Ahmad. Sekarang ni double Fahrin Ahmad. Fehhhh...

Nasib baik tak jadi boyfriend aku kan? Ahaks!!

Isnin, 22 Oktober 2007

Minta Perhatian

Membaca tulisan adik-adik aku di blog ini, sering membuat aku tertawa besar dan tersenyum. Tulisan jujur yang lahir dari hati mereka.

Entri ini berjaya menarik perhatianku. ;-)

Mencari perhatian. Attention seeker. Nyeiiah, siapa tak mahu perhatian?

Tak semua lelaki DAN perempuan adalah attention seeker. Maksudnya, yang gila-gila perhatianlah. Tetapi, OF COURSE - sedikit perhatian dari orang sekeliling, terutama orang tersayang adalah dihargai. ;-)

Dan siapa kata lelaki tak suka/mahu/hendakkan perhatian? Tak mahu dimanja? Tak mahu dibelai? Kadang-kadang mereka pula yang melebih-lebih. Phhwwtt. :-p Mengada-ngada tak?

Tapi..

Kalau perempuan minta lebih perhatian, tak mengapalah. Sebab perempuan nampak comel waktu bermanja-manja mahukan perhatian.

Kalau mengada-ngada pun, selalunya.. nampak comel juga. Dan seksi. ;-) Ihiks!

Sabtu, 20 Oktober 2007

Tak Mahu Buat Dosa

Wah~ jangan muntah-darah bila baca tajuk ini. Ye. Aku tahu aku bukan baik, alim dan warak.

Tapi bulan Syawal ini, tak mahulah aku buat dosa pada orang lain. Kan, bulan Raya ni bulan mulia, di mana semua orang saling memaafkan dan menghilangkan dosa orang lain terhadap kita. Kosong, kosong ye? Bak kata kawan aku.

Jadi, minta maaf, emak dan ayah. Aku tak mampu untuk ke rumah-rumah makcik-pakcik dan saudara-mara yang mana selalunya akan bertanya tentang jodoh aku. Dan aku bukan seorang yang baik - sama ada aku akan mengeluarkan ayat kurang manis ataupun mereka akan dimaki secara hebatnya di dalam hati - which is, dosa kepada orang juga kan?

Oh. Ini juga merupakan alasan untuk mengelat dari mengikut emak dan ayah beraya di rumah saudara mara. Ihiks! :-p

But I guess I'm old enough to tail 'em, aight?

Ya. Di kampung hari itu. Aku ikut mak dan ayah beraya di salah sebuah rumah saudara yang jauh. Bau-bau bacang ke mangga ke, aku tak pasti. Mereka tidaklah bertanya pasal jodoh aku - since tak berapa kenal. Tetapi, yang memalukan ialah - aku dapat duit raya. What the ....? Aku bawa duit raya ok! Nak bagi-bagi kat anak-anak mereka!! Instead aku yang dapat duit raya?? How embarrassing!!

Isk.

Isnin, 15 Oktober 2007

Selepas Raya

Raya ketiga. Di KL. Bosan. Baru daftar sebagai ahli Facebook sebab kebosanan. Nampak lebih 'sejuk' sedikit dari Friendster. Hihi.

Siapalah yang rajin nak update blog waktu hari raya?

Aku. Hampir-hampir. Nyaris mahu update blog di hari raya pertama. Sebabnya, aku lambat bertolak balik Melaka - kereta ada masalah. Biasalah kereta lama.

Tapi, nasib baik tak update. Laptop dah simpan dalam beg. Malas nak keluarkan. Elok juga tak update. Waktu tengah marah, bengang dan emosi.

Oh. Lupakan cerita update blog di hari raya pertama dan kereta.

Sebulan tak makan waktu siang. Bila tiba raya pertama, menjamah ketupat dan lemang buat perut aku meragam. Macam menolak makanan keluar dari dalam perut. Melalui mulut. Bukan. Aku tidak ada penyakit Bulimia. Tetapi perut seolah tidak menerima makanan yang aku telan. Uwek. Uwek.

Tak dapat menikmati makanan sangat untuk dua hari raya pertama. Tapi tadi waktu makan malam, TER-tambah nasi dua kali. Damn! Plan nak kekalkan berat badan 48kg boleh hancur macam ni.

Tengoklah berat badan seminggu selepas raya ni nanti.

Khamis, 11 Oktober 2007

Sebelum Cuti

Ini entri terakhir sebelum Aidilfitri.

Esok, walaupun ada akses internet di rumah. Aku rasa tak boleh nak update blog. Esok akan sibuk untuk masak-memasak juadah Aidilfitri. Ok. Ok. Aku 'mungkin' tidak masak, tetapi aku tolong mak aku memasak. OK?

Esok, aku bercuti sehingga 17hb. 18hb aku kembali bekerja. Jika aku rajin, aku tulis blog waktu cuti di rumah. Jikalau aku rajinlah~

Cukup setakat ini, aku mahu ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Atas setiap tutur kata terkasar bahasa dan terkeji. Minta halal makan minum yang diberi. Semoga berbahagia dan dirahmati Allah di Aidilfitri.

Hingga nanti, jaga diri baik-baik. Jangan memandu dalam keadaan mengantuk. Moga bergembira di hari lebaran. Salam.

Selasa, 9 Oktober 2007

Salahkah Aku

Ada orang buat salah, tetapi susah sangat nak mengaku salah. Lepas itu, boleh pula salahkan orang lain. Ha. Bunyi macam terkena pada batang hidung sendiri kan?

Aku memang selalu buat salah. Tetapi selalunya, aku akan mengaku salah. DAN meminta maaf.

Itulah. Bila ungkapan maaf terlalu mahal harganya. Hati terluka, siapa boleh ubatkan? {sambil nyanyi lagu Sorry Seem To Be The Hardest Word}

...

Dah! Banyak sangat entri melankolik aku. Aku manusia biasa. Aku tak boleh nak sembunyi bila aku rasa gembira, romantik, marah atau sedih. Nanti orang bilang aku hipokrit.

Dekat-dekat nak raya ni, rasa sedih dalam hati ini timbul bukan sedikit. Insaf. Kesal. Bersalah. Dan 1001 perasaan yang bercampur baur. Tidak terkecuali gembira - sebab raya - mestilah nak gembira, kan?

Kata orang, jangan fikir sangat rasa sedih tu. Tak elok untuk kesihatan. Tetapi, simpan dalam hati semua rasa itu, elok untuk kesihatan ke?

Orang mahu lihat aku gembira. Tetapi tak mahu tahu bila aku sedih. Susahlah aku nak hidup macam tu. Aku hanya manusia biasa. Aku tak boleh jadi sempurna macam tu. Senyum sepanjang masa.

Tetapi tidaklah aku mahu berdukacita sepanjang masa pun. Tidaklah aku menangis setiap saat pun.

Cuma aku hanya manusia biasa. Rasa sedih, sukar untuk aku elakkan, untuk aku sembunyikan. Pula tu aku ini manusia pemendam. Aku sukar sekali nak beritahu, sebab musabab kesedihan aku. Yet, aku ini perempuan. Tanpa sebab kukuh pun, aku boleh bersedih.

Tengok iklan raya petronas pun nak menangis~ Huhu.

Dah. Jangan fikir bukan-bukan. Buat saja jenaka untuk aku tertawa. Peluk aku untuk damaikan jiwa. Senyum untuk aku rasa bahagia.

Sedih akan hilang dengan sendirinya.

Aku sayang kamu semua. Muah!

Isnin, 8 Oktober 2007

Kemaafan Dendam Terindah

Bulan Ramadhan bulan mulia. Bulan Syawal pula untuk bermaafan (walaupun sepanjang tahun, kita boleh saling maaf bermaafan, tetapi Syawal menjadi kes istimewa). Mencari redha. Menyuci dosa.

Aku selalunya yang memendam terlalu lama. Menyimpan amarah di dalam jiwa. Menjadi barah dendam yang memakan hati, hari demi hari. Tanpa aku sedari ianya hanya menyakiti diri aku sendiri.

Sedangkan melepaskan segala yang telah berlalu itu rupanya melegakan. Menenangkan jiwa. Menghapuskan prasangka. Menyucikan dosa.

Dia menghantar e-mail pada saat amarahku di tahap surut hampir hilang. Memohon maaf. Dia sanggup meletakkan ego di bawah kaki dan yakini aku - memaafkan dosanya yang paling menyakitkan hati aku. Mencederakan emosi. Mengubah diri aku - menjadi pendendam agung.

Aku tewas dalam kelembutan. Nyatalah dendam aku tidak berpanjangan. Dendam yang pernah membuat aku terfikir sehingga sanggup menghapuskan dia dari muka bumi. Akulah sebenarnya yang berdosa. Ampuni aku.

Sempena bulan Ramadhan mulia ini dan Syawal yang bakal menjelang, aku redha memaafkan segala dosa-dosa kamu terhadap aku. Aku redha demi ketenangan jiwa serta menyucikan dosa.

Aku mahu jadikan dendam aku indah dengan kemaafan.

Sabtu, 6 Oktober 2007

Awek Romantis

Tifani Teh bilang aku awek romantis. *blushing*

Definasi romantik alias romantis ini luas. Hanya dia yang tahu sejauh mana romantisnya aku dalam cinta.

Walaupun aku awek romantis(?). Aku tidaklah mendamba lelaki romantis yang menjemput dan menghantar aku pulang tiap kali kami keluar. Kadang-kala aku menjemput dia di rumah. Aku tidak mengharap dia membawa aku ke restoran mewah. Kadang-kadang makan burger kongsi berdua pun dah cukup indah. Aku tidak meminta coklat dan bunga. Tidak meminta hadiah. Tidak meminta ucapan sayang setiap saat waktu.

(Walaupun kadang-kala, sekali-sekala, mahu juga dilayan sebegitu. Hihihi.)

Romantiskah aku?

Aku tidak tahu. Cuma yang aku tahu, untuk menunjuk sayang aku. Aku 'kan membelikan dia apa-apa walaupun bukan hari istimewa (bila ada mood dan bajet). Aku manjakan dia dengan perhatian. Aku sentiasa beritahu, aku sayangkan dia.

Ceh! Romantik la pula entri ni. Jangan ada yang muntah yach?

Selasa, 2 Oktober 2007

Lagu Raya, Iklan Raya

Memang lagu raya ni nostalgiknya dengan aku. Ya lah. Orang yang tidak teruja balik kampung beraya, lagu raya sajalah yang mengujakan aku dan adik beradik.

Tetapi, tak adalah hari pertama puasa dah pasang lagu raya - macam kawan-kawan aku di sini. Teruja sangat nak raya nampak? Puasa tu buat dulu. Tahulah zaman canggih ni, lagu raya boleh di dengar di corong speaker komputer saja.

Aku kira, aku lagi teruja bila dapat dengar lagu raya di corong radio. Adik beradik aku pun macam tu. Bila dengar lagu raya di radio, sibuk nak kuatkan volume. Mak aku pun sama. Feel dia lagi seronok bila dapat dengar lagu raya di radio sebab ianya tidak dijangka. Kalau di komputer kan boleh tahu lagu apa lepas ni and so on. Rasa teruja tu dah hilang. Walaupun punya koleksi lagu raya di dalam cakera keras komputer ini. Tak seronok dengar di komputer. Baik aku layan CD Anuar Zain yang baru aku dapat ini. Ihiks!

Selain dari lagu raya di corong radio, perkara tentang raya yang mengujakan aku ialah iklan raya.

Iklan raya dari Petronas, Telekom (Sekadar menyebut beberapa nama) belum keluar di TV lagi kan? Alahai. Aku seronok tengok iklan-iklan raya. Kelakar ada, sedih ada. Macam cerita pendek yang kau boleh dapat moral dari situ. Haha.

Iklan raya tahun lepas yang sangat aku minat ialah iklan dari PNB. Boleh tengok di sini.
Hari ini, hari yang kau tunggu..
Mana baju..? Mana baju..?

Comel sangat iklan ini. I liiioookkkeee..!!

Baru-baru ini aku terima iklan Raya Proton di email. Aku percaya kalian dah tengok. Ada hantu ok! Hahaha. Kelakar tu kelakar juga. Tapi, bila pandu kereta seorang, mulalah aku fobia. Manalah tahu ada penumpang. Damn it!

Kalau ada hantu nak naik kereta aku, aku nasihatkan tak payahlah. Kereta kancil aku tak ada tali pinggang di tempat duduk penumpang belakang.

Jumaat, 28 September 2007

Tak Tahu yang Mana Satu

Bila mahu membeli kasut sering menjadi masalah kepada aku. Keliru. Memang aku suka dengan stilettos yang tingginya dua inci dan bertali-tali membelit buku lali. Seksi.

Takkanlah mahu menyarung stilettos bertali-tali untuk ke kompleks membeli-belah? Parah dibuatnya bila memcuba kasut di kedai kasut. Meleraikan tali stilettos, masanya lebih lama dari memcuba kasut itu sendiri.

Itulah sebabnya aku mahu ada sepasang dua sandal. Untuk digunakan waktu berjalan dan membeli-belah.

Masalah major aku selalunya keliru. Bila niat aku mahu membeli sandal, aku akan ke seksyen kasut tinggi juga selepas melihat-lihat sandal dan tidak berkenan. Mencuba. Paling teruk, aku terus membelinya. Padahal fokus utama aku adalah membeli sandal. Stilettos aku lebih banyak dari sandal. Bukan selalu guna pun. :-(

Akan tetapi apabila terbeli sandal bertumit 1 1/2 inci. Pun sama juga kan? Macam beli kasut tinggi juga, kan? Cuma rendah sedikit saja.

Lepas ini nak beli sandal. Ingat ya, sandal! Yang flat dan senang disarungkan.

Selasa, 25 September 2007

Maaf, Aku lagi Emosi

Mungkin aku agak emosional di sini. Di entri kali ini. Walaupun aku cuba sedaya upaya membuang rasa emosional aku di dalam mana-mana entri. Di blog ini. Tetapi, sebagai manusia biasa, wanita terutamanya. Emosional dan aku umpama isi dengan kuku. Sukar untuk dipisahkan.

Seperti seluruh Malaysia tahu dan sedar serta sedih dengan kehilangan adik Nurin Jazlin yang didera secara seksual sehingga maut oleh haiwan bertopeng manusia yang patutnya dihukum dengan menyumbat anusnya dengan durian, memotong anunya dan membakarnya hidup-hidup itu, aku sendiri pun seperti seluruh warga Malaysia yang lain, menangis di depan kaca tv bila jasad kecil itu dikebumi.

Dan entri aku ini, tentang anak. Anak rezeki Allah.

Bila cerita tentang anak, aku jadi sensitif. Emosi. Bila bayi kena buang, aku marah. Bila lihat anak terbiar, aku marah. Bila lihat anak yatim, aku menangis. Lihat saja. Belum jumpa diorang lagi. Agaknya tak boleh jumpa anak yatim. Tangisan aku hanya menambahkan penderitaan mereka sahaja.

Masa aku mengikuti satu program self-development - Developing True Potential. Fasilitator di situ berkongsi pengalaman membawa anak-anak yatim ke Melaka. Bagaimana anak-anak itu memanggil dia ayah, bagaimana anak-anak yatim itu bermain, bergembira, makan. Dia menangis. Kalian imajinlah, anak-anak yatim itu dijamu 3 ketul ayam KFC. 1 dimakan, 2 disimpan. Katanya, sedap sangat Ayah. Nak simpan untuk makan malam. Entah bila boleh dapat makan lagi. Aku? Jangan cakaplah. Air mata aku non-stop.

Kak Ngah. Segala macam usaha telah dilakukan. Wang ringgit tidak menjadi persoalan. 7 tahun dia menunggu. Segala perlian, kata-kata orang yang menyakitkan hadam ditelan. Orang tak faham. Tak akan faham. Ada suatu hari dia ceritakan segala apa yang dia rasa dan sembunyikan pada aku. Aku dan dia sama-sama menangis.

Orang kata, aku masih teruja kerana anak buah baru 2 orang. Tetapi, bukan sebab baru 2 orang. Sebab kami sekeluarga lama menunggu. 4 tahun. Baru Atiya dan Yana datang dalam keluarga kami. Merekalah yang kami cherish, manjakan dan momen-momen bersama merekalah, kami hargai. Mereka racun, mereka penawar. Telatah dan kerenah merekalah menjadi penghibur kami sekeluarga. Pada mereka, aku curahkan segala kasih sayang aku. Buat sementara ini.

Sebab aku tak tahu, bila aku dah kahwin kelak, aku tidak tahu sama ada aku akan punya anak ataupun tidak...

Jika ada, alhamdulillah.

Jika tidak?

*sigh*

Khamis, 20 September 2007

Ada Apa dengan Nenas



Yana, dalam epal ada apa?

Biji epal..

Dalam nenas?

Aaaa.. ada pan bop que pen (Dia pelat sikit. Sepatutnya, spongebob square pants)

pan bop que pen
pan bop que pen
pan bopppppppppp que pennnnnnn
trutututrut tutu
{Nyanyi lagu tema Spongebob Square Pants}

Selasa, 18 September 2007

Lelaki Ini

Lebih dari separuh wanita-wanita di Malaysia ini sedang obses dengan lagu Lelaki Ini, nyanyian Anuar Zain, dan mengharapkan lelaki-nya mendedikasikan lagu itu kepada mereka.

Haha.

Lelaki ini
Yang selalu mencintamu.
Selalu.
Tanpa ragu.


Selain dari lirik yang mudah dan mencairkan hati wanita. Dinyanyikan oleh Anuar Zain sahaja sudah mampu buat wanita-wanita di Malaysia ini pengsan dan histerikal.

Diman siap dedikasi kat awek dia lagi. Huhuhu. Dengkinya aku!

Oh, aku tahu lelaki-lelaki normal akan berkata, Apa neraka Anuar Zain? Gay ok!! Eleh, dengkilah tu. Hahaha.

Dia

Smell of your skin, linger on me now...

Bait-bait lagu Fergie, "BIG" Girl yang menangis, tetapi tak mahu mengaku itu, menusuk jauh dalam hati aku. Serta-merta, aku teringat dia. Dia dengan senyumnya. Manis.

Berulang-ulang bait lagu itu bergema ditelingaku. Berulang-ulang jua aku putarkan kenangan demi kenangan aku bersama dia. Dia dengan matanya. Tajam.

Aku pejam mata. Menghayati lagu dan cuba mengecap semula kenangan manis bersama dia. Bayangannya terlalu jelas di ruang mata aku. Tawanya, guraunya, usikannya dan semua tentang dia. Dia dengan genggaman jarinya. Erat.

Aku mengukir sebaris senyum. Teringat waktu-waktu rajukku, dia sabar dan cuba memujukku. Memelukku. Memegang pipiku. Cuba meyakinkan aku.

Ada rasa rindu menyelinap dalam dada dan menyesak-nyesak. Rindu. Sepatah perkataan itu aku sebut dan mataku terbayang hanya dia.

Sesekali, terlintas dalam fikiran. Salahkah aku mengingatkan dia? Gilakah aku hanya terbayangkan dia? Dan mengapa? Mengapa hanya dia yang terbayang di ruang mata?

Gila!

Aku gilakan dia.


Note : Entri-entri di bawah label fiksi hanyalah imaginasi penulis. :-)

Jumaat, 14 September 2007

Ghost Whisperer : Lupa Tarikh

Sebenarnya aku kurang menonton siri-siri di kaca TV, kecuali Gol & Gincu. Dulu, antara menjadi kegemaran ialah CSI, Smallville, Charmed dan Desperate Housewife. Ha, imajin la berapa lama aku tak layan siri TV sekarang ni? Aku sering keluar malam. Dalam seminggu 2-3 kali. Bila terlepas satu-dua episod, aku jadi malas nak layan episod-episod seterusnya. Tambahan pula, ada siri-siri yang aku suka, macam Smallville dah jadi ridiculous. Menyampah pula nak tengok. Sebab itulah kawan-kawan aku yang rajin tengok siri TV bercerita, aku ternganga.

Tapi kadang-kadang layan juga. Waktu-waktu tak keluar merayap di malam hari dan bosan dengan filem-filem yang ditayangkan di Astro berulangkali.

Malam itu, aku entah bagaimana, tukar-tukar channel TV, dan tertayanglah Ghost Whisperer di kaca TV. Ya. Aku tahu Jennifer Love Hewitt yang panas itu berlakon dalam siri itu sebagai watak utama. Aku statik di depan TV. Jika aku tak tengok cerita itu tentang apa, aku perhati baju-baju terutama baju tidur yang JLH pakai sepanjang cerita itu ditayangkan. Haha. Hey, puasa ni. Jangan imajin lebih-lebih ok!



Malam itu, episod The Night We Met di mana Melinda menyelesaikan masalah seorang lelaki yang mati terbakar di dalam restorannya. Sampingannya pula, flash-back perkenalan dia dengan Jim.

Aku tak kisah bagaimana dia menolong si mati itu cross-over, tetapi.. tetapi.. nak tengok apa konklusinya bila seorang lelaki terlupa tarikh perkenalaan mereka. Lelaki kan sering lupa tarikh~

Aku benar-benar fikir Jim terlupakan tarikh mereka berkenalan. Mereka keluar untuk pertama kali dan makan di Umbrella Room, yang rupanya gerai hotdog di tepi jalan. Kalau kat Malaysia, boleh buat cerita seperti itu di gerai burger pula. Kadang-kadang romantik juga. Asyik makan kat hotel saja tak mampu la aku weh.

Pada hari ulangtahun itu, Melinda memberikan Jim replika Umbrella Room. Jim tanya, apa istimewanya hari itu. Tak kan Melinda nak beritahu? Melinda hanya katakan tiada apa yang istimewa. Hey, aku pun tak beritahu tau. Kau, lelaki - MESTI ingat tarikh penting OK!

Tetapi, Jim tak lupa kerana di dalam closet, rupanya terletaknya payung Melinda yang rosak waktu pertemuan mereka hari itu.

Dengan mata yang berkaca-kaca, Melinda berkata, "I thought you forget." Jim senyum dan berkata, "How can I forget?", sambil kiss Melinda. Damn sweet! Sampai aku pun menangis sekali. Ah, bukan aku seorang saja yang menangis tau! :-p

Biasanya lelaki memang lupa tarikh-tarikh penting ni. Dulu, sekali si teman-lelaki pernah terlupa birthday aku. BIRTHDAY ok! Kalau tarikh jumpa tu, lainlah cerita. Ini birthday. Aku marah. Tapi rajukku reda bila dia belikan kek black-forest sebagai tanda maaf. Hik Hik. Sweet la kononnya.

Lupa tarikh adalah suatu perkara yang tidak dimaafkan. Ingat ya lelaki. :-)

Khamis, 13 September 2007

Dah Habis

Sembilu Kasih sudah habis. Hari Ahad hari tu, episod penghabisan. Phew. Akhirnya.

"Kakak punya anak. Dari dalam perut lagi sampai dah empat tahun sekarang ni. Baru Sembilu Kasih ni habis." Seorang kakak yang kami temu di Rasa Alamanda yang menayangkan minit-minit terakhir kekecewaan seorang Fendi, ramah bercerita. Kami berempat tergelak-gelak. Membuat beberapa ulasan terakhir selepas sinetron paling lama di Malaysia itu tamat.

Manjalara pun dah habis semalam. Aku dan Daun, mesej-mesej dialog-dialog antara Joff, Es dan Manja di KL Sentral.

"Amyz, you dah dapat apa yang you nak selama ini. Tapi I tau, I bukan dalam list tu."

"Bagitau I kenapa I tak perlu pergi? I perlukan you Amyz. I love you. I perlukan masa untuk mengubat hati I. You pernah buat gitu. Sekarang I need that."

Es pergi membawa hati. Joff juga pergi membawa diri. Manja menangis-nangis. Aku tahan sebak di dada. Huk huk.

Akhirnya. Aku skip apa terjadi selepas pemergian Es dan Joff. Manja pergi bercuti entah di mana ada mat dan minah saleh sesat. Mungkin nak menunjukkan yang mereka di luar negara, kononnya. Tetiba ada orang lemas di kolam. Manja dengan hebatnya berenang untuk menyelamatkan lelaki itu. Ah, klisenya aku boleh dapat agak yang diselamatkan itu Es. Tapi aku tak sangka pula Es propose Manja di kolam tu. Auuwww.. Sweet!! Dengkinya aku. Maka, tamatlah Manjalara 1.

Alamak. Semua dah habis. Sinetron apa pula aku nak kutuk-kutuk selepas ini?

Rabu, 12 September 2007

Klik-Klik


amyz
Originally uploaded by sinaganaga
Ini yang dikatakan "capture the moment". Fotografi adalah bagaimana anda mengambil momen-momen untuk diabadikan sebagai kenangan. Bukan mengambil satu lakonan.

Selasa, 11 September 2007

Baca Personaliti II

Lazu, Tifani Teh, 13May dan Tuan Tanah. Anda secara sukarelanya mahu menjadi tikus makmal aku. Terima kasih. Maaf, tiada saguhati yang akan anda terima melainkan ilmu secara percuma. Ok kan? ;-) Err.. Effa, kau mahu uji juga tak?

Ujian pertama.
Pilih bahagian A(Slow+Work), B(Slow+People), C(Fast+Work) atau D(Fast+People) dengan berpandukan soalan ini: Bagaimana anda melakukan kerja anda, Slow atau Fast? Atau adakah anda pentingkan kerja (Work) atau orang lain(People-oriented)?

Respond di kotak komen dan aku berikan jawapan personaliti anda selepas itu.



Kebaikan ujian ini adalah untuk mengetahui potensi anda dan kerjaya mana yang sesuai dengan personaliti anda.

Ujian kedua.
Err. Aku rasa tak sesuai nak jalankan ujian ini kerana err.. tak sesuai. Sebenarnya aku tak mahu membaca potensi kehebatan kalian di ranjang. Hahaha.

Oh ye. Kalau pembaca lain mahu cuba pun, tak salah. Aku tak pilih kasih. Sila respond di kotak komen.

Aku akan berikan keputusan personaliti kepunyaan aku di entri lain pula.

Jumaat, 7 September 2007

Apa ada dengan Buku?

Ok. Aku tahu ramai yang mabuk dengan Shelfari. Perkara baru memang sentiasa menjadi perhatian. Macam lelaki ada isteri baru juga. Mana nak beri perhatian pada perkara lain.

OK. Koleksi buku aku bukan banyak sangat. Dulu yang ada beli pun koleksi novel-novel remaja yang sejam-dua dibaca dah boleh habis. Oh ye, aku memang speed-reader. Lepas itu aku bosan dengan buku. Tak ada pengaruh yang besar untuk aku membeli buku. Lainlah kalau beli kasut.

Ada juga baca-baca buku. Itupun pinjam kawan-kawan. Balik-balik novel cinta. Balik-balik novel cinta. Bosannya.

Kadang sifat aku juga pun satu. Sentiasa mahu mencari sesuatu yang boleh menghiburkan hati aku. Bila aku baca buku-buku yang penuh konflik, emosi. Aku rasa hidup aku dah penuh dengan konflik. Tak mahu tambah lagi satu konflik.

Tapi, aku rasa aku dah cukup dewasa untuk hadapi segala konflik. Alah bisa, tegal biasa.

Sejak kawan aku yang jauh kat daerah London tu memberi cadangan buku-buku yang perlu aku baca, aku mulai mengumpul dikit demi sedikit buku-buku. Sekurang-kurangnya ada. Dari tak ada langsung.

Pinjam kawan-kawan? Oh, tabiat lama sukar ditinggalkan~ Maaflah.

Khamis, 6 September 2007

Asalkan Dia Ada

Dia ada. Setiap waktu pun di sisi aku. Tak apalah jika aku tak bercakap dengannya. Tak mengapalah jika aku tidak bergurau dengannya. Tak kisahlah jika aku tak senyum padanya. Dia ada di situ. Tak pergi mana-mana pun. Kenapa perlu risau?

Ya. Dia duduk di situ. Ada di sisi aku. Sentiasa senyum dan selalu buat aku tersenyum. Indah. Romantis. Macam filem cinta yang aku tonton di tv dan wayang.

Asalkan dia ada disitu. Menjadi penghiburku, menawar kelukaanku dan mengubat dukaku. Aku bahagia. Asalkan dia ada.

Rabu, 5 September 2007

Baca Personaliti

Semua orang akan cuba membaca personaliti kita. Masing-masing. Cuba baca kau ini orang yang bagaimana? Panas baran kah? Romantis kah? Dan lain-lain lagi. Bila tekaan kau tepat, wah! Terujanya. Macam tok nujum boleh meramal-ramal kayaknya.

Pasti kalian ada baca tentang kajian Dr Fadhilah Kamsah tentang bulan dan personaliti seseorang. Kajian selama 10 tahun tu. Lama tau Dr Fadhilah Kamsah ambil masa untuk membaca personaliti orang. Kalian dapat ilmu tu tak sampai 5 minit pun.

Tapi sifat-sifat tersebut tidak secara keseluruhan. Hanya persamaan yang ada antara beberapa orang yang lahir di bulan yang sama. Bagaimana jika tahun yang sama? Bagaimana jika tarikhnya bernombor genap? Bagaimana pula dengan tarikh bernombor ganjil? Mungkin lain personalitinya.

Aku pernah jumpa beberapa orang yang lahir pada bulan yang sama, tetapi berbeza personalitinya. Aku pun suka membaca personaliti orang. Tapi aku lebih suka bertanya sendiri pada orang tersebut. Bukan apa, dalam proses kenal-hati-budi ini, eloknya kita tanya sendiri. Kalau teka-teka bukan betul pun. Kita bukan ahli nujum nak ramal-ramal hati orang lain. Kan?

Minggu lepas sewaktu berkursus, ada dua-tiga cara diajarkan oleh fasilitator tentang mengenal personaliti seseorang. Aku nak buat ujian. Siapa sudi jadi tikus makmal? :-)

Selasa, 4 September 2007

Manja Konon

Kalau kau sering mengikuti siri Manjalara di TV3 setiap petang Isnin - Khamis, pasti kau kenal Auntie Zaza si Manja, lakonan Abby. Mula-mula dulu aku tengok siri ini, bila Abby muncul sahaja, aku jerit-jerit depan tv, Ya Ampunnnnnn.. Mangsa Fesyen!! Kau tahulah aku ini tak boleh tengok orang yang pakai baju tak kena tempat, masa dan keadaan. Aku gelar itu bencana fesyen.

Satu hal lagi ialah karektornya yang manja-manja dan gedik-gedik. Aduh, mula-mula tengok dulu memang meluat gila dengan Auntie Zaza ni. Sampai aku berdoa aku tak jumpa orang sebegini di dunia nyata. Biar hanya dalam tv sahaja.

Tapi.. Tapi.. Rupa-rupanya, wujud juga manusia seperti Auntie Zaza itu di dunia nyata ini.

Hamba Allah ini, aku tak mahu cakaplah siapa nama dia, demi menjaga maruah dia. Cerita benar dalam majalah Mastika pun tak cerita siapa nama sebenar mangsa atau pun pemangsa ye tak?

Sepertimana karektor Auntie Zaza dalam siri TV Manjalara sebegitulah dia. Cakap manja-manja, ketawa yang kecil dan menutup mulut, suka bergaya, pakai kasut tumit tinggi 2 inci hari-hari, tak pernah tak bersolek, bila diusik tersipu-sipu. Pergi kedai pun pakai kasut tinggi, for God sake!

Nasib baik dia tak berpakaian seperti Auntie Zaza - keluar berjalan pun nak pakai stokin warna merah jambu. Oh, bencana fesyen! Pengsan aku kalau dia pakai macam tu.

Kalau bercakap, mimik mukanya dengan tangan-tangannya. Seperti Auntie Zaza, kadang-kala siap bernyanyi-nyanyi lagi. Ah, tak mahu lah aku terangkan panjang lebar tentang dia di sini. Kau tonton saja Manjalara untuk mendapat idea tentang hamba Allah ini. Kalau tidak pun, nanti kita jumpa, aku boleh ajuk cara dia bercakap. Mahu?

Aku tidaklah mengutuk dia. Dia baik, cuma.. cuma.. Kan aku dah bilang tadi, aku harap aku hanya lihat orang seperti itu di kaca TV. Tapi antara dia dan Auntie Zaza, karektor Auntie Zaza dua kali lebih dasyat dari hamba Allah tersebut. Phewww..

Isnin, 3 September 2007

Kembali

September dah datang. Dah habis ganti puasa? :-)

Kursus tiga hari mengajar aku tentang keyakinan diri dan menetap matlamat masa depan. Dan, aku dapat tip-tip percuma dari fasilitator bagaimana mahu mendapatkan teman lelaki seramai 20 orang. Wow! Aku tak mahu cuba. Tarikan seksual aku dah cukup tinggi untuk dapatkan perhatian seorang lelaki setiap hari. Haha. Aku riak sahaja. Bukan betul pun. Jangan percaya sangat.

Sepatut-patutnya aku ke pejabat pada hari Khamis. Tetapi berita duka aku terima seawal pagi itu, isteri busu aku, adik ipar mak aku, ibu susuanku telah pulang ke rahmatullah. Innalillah hi wa ina ilaihi ra ji'un. Akibat tekanan darah rendah. Aku bercuti hari Khamis. Aku berkabung sehingga hari Merdeka.

Aku tidak ke Dataran atau KLCC atau Ikano Power Centre atau Putrajaya untuk menyambut Merdeka dan memuja bunga api. Tambahan pula, ayah bekerja di Dataran, untuk siaran langsung RTM. Bayangkan jika aku membonceng mat rempit dan terserempak dengan ayah di Dataran, bagaimana agaknya? Mujur aku fobia dengan motor dan aku benci Mat Rempit. Maka, tiadalah adegan drama yang terjadi di situ, di malam Merdeka itu.

Banyak perkara aku mahu cerita. Tetapi aku perlu selesaikan perkara penting sebelum aku mula menulis tentang cerita aku. Lagipun jika aku ceritakan semua, esok lusa aku sudah ketandusan idea. Jadi, tunggulah sehingga esok dan sambungan-sambungannya lusa, tulat dan seterusnya. Lagi pula Tuhan suka pada orang yang sabar, kan? ;-)

Sabtu, 25 Ogos 2007

Hati Berbentuk Geometri

Ia bersegi-segi.
Boleh dibahagi-bahagi.
Tapi
Ia rapuh seperti hablur-hablur ais yang mencair di jari.

Hati berbentuk geometri.
Jarang ia dihargai.
Kerana ia biasa diperhati.
Dan ia menangis sendiri.

Jumaat, 24 Ogos 2007

Cita-Cita

Ingat tak waktu di zaman persekolahan, kita diberi sekeping kad untuk mengisikan tiga pilihan jawatan yang ingin kita pegang waktu dewasa?

Macam-macamlah kawan-kawan aku tulis di situ cita-cita pilihan mereka. Doktorlah, Saintislah, Juruteralah. Yang bagus-bagus belaka.

Tiga pilihan aku (ini waktu sekolah rendah tau!); Arkitek, Pereka Fesyen dan Cikgu. Cikgu menjadi pilihan yang ketiga dan sebabnya dituliskan di situ; untuk mendidik anak bangsa menjadi orang yang berjaya. Sebenarnya, waktu itu dah tak tahu nak jadi apa. Jadi doktor macam besar sangat cita-cita tu. Almaklumlah, bukan pandai sangat. :-p Haha.

Arkitek itu pula aku pilih sebab dalam drama-drama TV aku lihat, macam senang saja kerjanya. Lukis-lukis pelan petak-petak sahaja. Tambah pula aku memang gemar melukis. Haha. Tak fikir perkara-perkara itu perlukan pengiraan segala. Poyo betul. Bila dah di sekolah menengah baru tahu jadi Arkitek bukannya mudah.

Disebabkan suka melukis juga, aku tertarik untuk meletakkan Pereka Fesyen dalam pilihan cita-cita yang kedua. Masa kecil-kecil dulu selalu ikut emak pergi ke rumah makcik jahit baju untuk keluarga aku. Tengok dan teliti fesyen baju yang orang lain hantar ke rumahnya.

Hah. Maka tidak hairanlah mengapa aku suka bergaya, kan? ;-)

Bila mengambil jurusan akaun di sekolah menengah, menyebabkan permohonan aku ke kursus rekaan fesyen UiTM ditolak mentah-mentah. Maka aku pun terlontar ke kolej swasta mengambil kursus IT. Kecewa jugalah sedikit. Sedikit sahaja. Tak banyak.

Sekarang ini, aku hanya seorang pengaturcara marhaen yang menggemari melihat-lihat rekabentuk bangunan dan rumah. Itu saja yang aku buat sementelah tak dapat menjadi seorang Arkitek.

Juga gemar melihat (lihat, bukan ikut) fesyen pakaian terkini di majalah, fesyen artis di karpet merah dan memerhati gaya setiap wanita yang ke kompleks membeli belah. Kadang-kadang aku mencebik pada mereka yang berpakaian tak kena tempat. Aku gelar mereka mangsa fesyen. Tak dapat jadi Pereka Fesyen, jadi pengkritik fesyen separuh masa di kompleks membeli-belah pun tak apa. Haha.

Khamis, 23 Ogos 2007

Kenapa Menulis Dalam B. Melayu?

Mula-mula sekali, aku tak mahu guna perkataan 'Bahasa Malaysia'. Aku bukan 'racist', tetapi aku berdiri di bumi Malaysia, bercakap dalam bahasa Melayu. Bukan Bahasa Malaysia.

OK. Kembali kepada topik asal.

Ada seorang pembaca pernah beritahu aku; isteri saya suka baca blog awak kerana bahasanya. Oh. Sesungguhnya aku rasa sangat terharu. Terima kasih. Kerana adanya peminat, aku terus menulis. Tak sanggup menghampakan mereka semua. Haha. Ya. Maafkanlah kekejian aku yang hina ini.

Bahasa Melayu adalah bahasa yang indah. Bait-bait yang dirangkai antara satu sama lain membentuk satu ayat seringkalinya mempersonakan aku. Aku teruja menggunakan perkataan-perkataannya, cuba mengarang dan menyusun ayat agar menjadi ayat yang baik dan cantik. Itupun setelah banyak belajar dan membaca.

Aku suka membaca tulisan mereka yang mementingkan tatabahasa dan susunan ayat yang baik. Di buku, di majalah, di akhbar malahan di blog juga.

Lagu-lagu puisi selalu mejadi pilihan untuk halwa telinga. Aku terpesona. Khayal dibuai ayat-ayat indah. Tenggelam dalam imaginasi.

Cantik. B. Melayu ini cantik. Aku bangga menulis menggunakan B. Melayu yang betul dengan betul. Tetapi, jika salahguna jadi bencana bahasa. Tak sker taww! Uh, rosaknya!

Owh. Kecuali, jika aku marah-marah - aku tak suka B. Melayu yang cantik ini menjadi buruk lagi hodoh. Waktu itu, aku rela marah-marah dan menyebut perkataan-perkataan Inggeris, yang kau tahu apa dan mengapa. :-)

Rabu, 22 Ogos 2007

Jerat

Makin lama dia makin rapat. Tak mampu aku meloloskan diri aku dari panahan cintanya. Cinta yang lama aku damba. Sinari aku dengan suatu yang bernama kebahagiaan.

Tetapi, rupanya cinta itu satu jerat. Jerat yang membelit-belit leher aku. Seterusnya menghalang aku bernafas. Dan aku kian tersekat.

Lari. Lari. Cuba berdiri dan lari.

Tapi kakiku bergari.

Dia tersenyum di situ. Mendepangkan tangannya cuba mendapatkan aku. Cuba mendakapku. Makin dekat. Seinci kemudian, pelukannya erat. Aku menutup mata. Menahan airmata. Kerana aku tahu, jerat cintanya menjamah tubuhku selepas ini.

Selasa, 21 Ogos 2007

Semua Itu di Sini

"Semua itu di sini," Ujar kawan aku, Cik A dengan jari telunjuk menunjuk kepalanya, merujuk kepada otak.

Aku faham maksudnya. Walaupun tiap kali dia quote ayat tersebut dalam situasi apa pun, kami akan tertawa.

Lalu teringat satu cerita. Tentang seorang lelaki yang menaiki keretapi dan keretapi itu tergelincir dari landasan. Dia terperangkap di dalamnya. Dia ingat dia tempat yang dia terperangkap mungkin dekat dengan dandang keretapi, kerana dia terasa sangat panas. Dia berkata dalam hatinya, matilah aku kejab lagi. Panasnya. Panasnya. Berulang-ulang kali. Akhirnya dia mati.

Sekumpulan penyelamat menemui mayat lelaki itu merasa pelik bagaimana lelaki boleh mati hanya kerana terperangkap di dalam tempat barang.

Semua itu di sini, ujar kawan aku menamatkan cerita sambil menunjuk jari telunjuk di kepalanya, memberi maksud yang perkara boleh terjadi mengikut apa yang kita fikirkan.

Kita perlu adaptasi perkara-perkara positif di minda setiap hari. Jika fikir negatif saja, negatiflah yang kita terima. Nama samarannya ialah keyakinan diri.

Dahulu. Zaman bercinta dahulu. Aku pernah berkata setiap hari, setiap minit bilamana teringat pada si dia, yang si dia akan meninggalkan aku. Satu hari ianya menjadi kenyataan. Menyesal tak sudah. Haa.. itulah natijahnya berfikir negatif.

Begitulah. Aku mahu fikir yang positif sahaja. Setiap hari. Kata pada diri sendiri. Tanamkan dalam minda. Yang aku ini bijaksana, cun, comel, bergaya, slim, bf-tak-akan-cari-gf-lain dan lain-lain lagi. Kan? ;-)

Kawan aku, Cik A mengadu pada kami. Dia rasa sakit perut, lemah badan, sakit pinggang dan lain-lain simptom PMS. Aku pandang dia sedikit simpati, selebihnya tak berapa simpati.

"Semua itu di sini. Cik A. Di sini." Jari telunjuk aku menunjuk kepala aku depan-depan muka dia.

Haha.

Khamis, 16 Ogos 2007

Kenapa Wanita Sukar Membaca Peta?

Pada satu hari, di hari Sabtu, tidak berapa lama dahulu. Sekumpulan anak muda terdiri dari 2 gadis sunti dan 3 jejaka idaman Malaya sedang enak-enak menikmati makan tengahari di kompleks membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Gadis A : Err.. macam mana nak pergi Rawang dari sini? (merujuk kepada MidValley)

Lelaki A : Kau tahu NKVE? Dari sini ke NKVE guna Kerinchi Link?

Gadis A : Err.. (Geleng kepala)

Lelaki B : Kau tahu jalan nak ke Uptown?

Gadis A : Err.. (Geleng kepala)

Lelaki A dan B mencuba sedaya upaya menerangkan nama-nama jalan dan lebuhraya baru sekitar Kuala Lumpur untuk ke Rawang dengan menggunakan NKVE, tetapi si Gadis A tidak mendapat sebarang klu. Wajah Gadis A tampak blur dan keliru. Sehingga Lelaki-lelaki itu menjadi simpati terhadapnya.

Gadis B : Heyy, kau tahu jalan nak ke OU atau IKEA tak?

Gadis A : Haa!! Tahuuuu..!! (Riak wajahnya bertukar menjadi cerah dan Gadis B menerangkan jalan ke NKVE dengan menggunakan IKEA sebagai landmark)

Lelaki A, B dan C : Laaaaaa... (tepuk dahi berkali-kali)

Lelaki B : Sebut LDP dah tadi, IKEA juga yang dia kenal.

Lelaki C : Nak beri direction kepada wanita, perlu gunakan kompleks membeli-belah sebagai landmark rupanya.

Jadi lelaki-lelaki itu mendapat satu pelajaran baru bagaimana mahu memberi direction kepada wanita. Satu pelajaran yang berguna di masa depan.

Ini menjelaskan teori Allan dan Barbara Pease, mengapa wanita sukar membaca peta.

Walau bagaimana pun, si Gadis A itu memang blur. Dia suka sangat sesat-sesatkan dirinya walaupun dah diberi arahan jalan yang jelas. Dia juga suka menelefon dua-tiga orang kawan yang berbeza untuk bertanya direction untuk ke suatu tempat.

Rabu, 15 Ogos 2007

Budi Bahasa Budaya Kita?



Lencana ini hanya hiasan di kolar jaket aku. Tak memberi sebarang impak.

Humm.. Aku tiidak berapa terpengaruh dengan kempen ini untuk jadi seorang yang lebih berbudi bahasa idaman semua mak mertua.

Bila aku memandu. Budi-bahasa aku selama ini terpelihara baik, hilang entah ke mana. Tapi ianya berlaku bila pemandu lain tidak berbudi-bahasa terhadap aku. Bila dia tidak berbudi, aku pun tidak berbahasa. Barulah adil.

Eh, tidak juga.

Aku cepat hilang sabar bila terpaksa menunggu. Menunggu adalah pembaziran masa. Membazir adalah kawan syaitan. Masa yang banyak aku boleh peruntukan dengan membuat suatu perkara yang berfaedah. Baca buku misalnya. Menulis lebih baik dari menunggu dan membuang masa.

Bila sabar aku hilang, mulalah aku marah dan aku mengaku I have really bad temper.

Bila aku marah, hmm... Hilanglah segala budi-bahasa yang menyebabkan semua orang yang berdosa mendapat natijahnya.

Puncanya di sini; aku cepat hilang sabar. Hilang sabar, hilang budi-bahasa. Eleh. Semua orang pun begitu juga kan? Sekurang-kurangnya aku mengaku. Phhtttwwww~

Selasa, 14 Ogos 2007

Cari & Berita

Kalau mereka mahu cari aku. Mereka boleh google saja. Tak susah mencari aku. Jika kau benar-benar mahu mencari. Tapi, tak mengapa jika tak punya URL baruku. Bila rindu, sebut-sebutlah namaku selalu. Hihi.

OK. Berhenti bercakap tentang aku. Aku mahu bercerita tentang isu semasa supaya menjadikan aku selalu berada "in-trend".

Jika kalian menonton berita semalam. Kalian dapat lihat berita ini. Aku mengaku aku tak menonton berita semalam, kerana berada di luar rumah. Aku cuma dapat tahu berita ini dari kawan aku yang selalu baca suratkhabar dan menonton berita tadi. Ya. Tadi.

Eh, ada iklan kuruskan badan secara selamat 10kg dalam 30 hari di bawah halaman berita yang aku link-kan itu. Menarik juga iklan tu.

Tapi aku tak mahu sentuh berita itu dengan mengatakan betapa pilunya hati aku melihat mangsa-mangsa yang terkorban. Aku batukan hati aku. Sebab, jika aku menangis atau berteriak atau marah-marahkan syarikat bas ekspres tu, tak guna lagi semua itu. Segalanya telah berlaku.

Hari-hari pun di jalan raya ada kemalangan apa. Tercium belakang kereta orang pun boleh buat sesak berjam-jam. Percayalah dalam lima hari bekerja, aku akan terserempak dengan tiga kali kemalangan.

Yang terlibat dalam kemalangan itu satu hal. Kalau terlanggar di tengah jalan, di tengah jalan itulah mereka bertengkar atau diskusi cari penyelesaian. Bukan tak boleh ke tepi dahulu. Penontonnya pula perlahankan kereta dan suka nak perhati. Mungkin nak ambil nombor bertuah (Bertuah apa kalau dah kemalangan? Sial adalah). Tapi itulah Kuala Lumpur. Orang Malaysia. Kurang kesedaran sivik. Bodoh!

Bosan!

Isnin, 13 Ogos 2007

Materialistik

Heyy! Bila aku sebut materialistik. Aku bukan melabel wanita sahaja. Lelaki masa kini pun materialistik. Mereka memikat wanita yang bergaji besar, kereta besar. Pendek kata semuanya yang besar-besar. Sebab dunia berubah.

Dunia waktu ini semua kena guna duit. Tak ada duit, tak boleh hidup. Siapa yang mahu berkawan dengan kita jika kita hanya punya kejujuran dan keikhlasan? *Ada? Ada? Kamu di luar sana, sila tunjukkan dirimu.*

Ini realiti. Mahu tak mahu, kita kena ikut arus perdana. Duit adalah segala-galanya. Perlu kita puja, kejar dan cari! Itu kenyataannya.

Setakat gaji bawah RM2 ribu, lepas bayar semua hutang-piutang PTPTN, kereta, rumah sewa dan kad kredit. Yang tinggal, serdak-serdak sehingga hujung bulan. Nak belanja teman-wanita/lelaki pun fikir beratus-ratus kali.

Jadi aku pun tergolong dalam manusia-manusia yang mengejar wang dan harta. Bagi aku, harta benda dunia ini, selagi bernyawa, kita perlu mencarinya. {Aku mahu masukkan unsur-unsur moral dalam blog aku; aku mahu tulis sekali di sini} Namun tidak lupa untuk beramal-ibadat. Bak Sabda Rasulullah; Bekerjalah seolah-olah kamu hidup seratus tahun lagi, beramallah seolah-olah kamu mati keesokkan harinya.

Oleh itu, aku mahu memikat lelaki berusia antara 30-35 tahun, bujang, punya banglo mewah di PD, kondominum mewah di Ampang, berkereta BMW dan punya peratus saham terbesar di syarikat-syarikat multi-nasional Malaysia~

Materialistik!

Ahad, 12 Ogos 2007

Wad 6C, Hospital Amp_ng

Malam minggu tadi, di mana malam setiap muda-mudi bersuka-ria, merempit, menari di disko dan pergi Pasar Malam Jalan TAR. Menghabiskan masa muda dengan sia-sia. Mencari segala keseronokan di dunia selagi bernyawa. Itu kenyataannya.

Aku, malam minggu itu, tergigil-gigil menahan kesejukan dalam kedinginan wad 6C, hospital Amp_ng. Meneman mak. Di mana pada malam minggu itu adalah giliran aku.

Mak, secara fizikalnya nampak sihat (Alhamdulillah). Tapi tidak dibenarkan pulang ke rumah untuk pemeriksaan lanjut jantung yang tidak stabil denyutannya. Mak merungut-rungut kerana tidak suka masakan hospital yang kurang masin, malam yang dingin dan tak dapat menonton Sembilu Kasih.

Aku bawa tv kecil yang mencari siarannya seperti mencari frekuensi radio dan menayangkan gambar hitam putih. Untuk mak tonton siaran tv slot cerekarama kegemarannya. Malam itu ditayangkan Cinta Si Rempit. Mak menonton, aku baca Smoke & Mirror hasil Neil Geiman yang aku pinjam.

Mak baring membelakangkan aku untuk menonton tv. Sesekali dengar tawanya. Jam sudah pukul 11:30pm. Senyap. Aku jenguk mak yang rupanya sudah tertidur. Aku tutup tv dan sambung membaca. Penghuni katil lain di bilik berhawa dingin kelas dua itu sudah lama nyenyak. Aku mengantuk. Sangat. Tetapi belum boleh lelapkan mata. Sejuk yang membelenggu.

Sebelah katil emak kosong. Tidak berpenghuni. Siang tadi, ayah suruh aku tidur di situ. Aku berfikir-fikir. Aku telah menyusun tiga buah kerusi untuk dijadikan katil aku malam itu. Katil di sebelah nampak lebih selesa dan menggoda aku untuk tidur di atasnya malam itu.

Aku sepatutnya tidak berfikir panjang. Jika aku tidak fikirkan katil itu pernah digunakan oleh orang yang tiada di dalam dunia ini, katil itu pernah diduduki oleh orang yang diambil nyawanya dan tidak terbayang-bayang cerita The Eyes. Nescaya, aku selesa tidur dan tidak terjaga dari tidur 2 jam sekali!

Mak? Alhamdulillah sihat. Boleh balik hari Isnin. Syukur.

Sabtu, 11 Ogos 2007

Zaman Muda yg Berlalu

Kawan aku bilang sama aku. Bil telefon yang dia bayar waktu zaman dia bercinta dahulu, jika kumpul boleh jadi down payment sebuah kereta keluaran nasional yang mempunyai cc rendah. Tapi, malangnya duit itu habis di bil-bil telefon.

Tapi bodohkah dia waktu itu? Sepertimana bodohnya aku. Zaman muda dan bercinta dahulu memang bodoh pun. Bil telefon aku juga pernah cecah ratusan ringgit waktu itu. Waktu duit masih bukan kepentingan untuk aku sebab cinta itu penting dari segalanya. Uwek!

Tapi zaman itu telah berlalu. Zaman muda. Zaman bodoh. Zaman bercinta gila babiss! Sekarang aku lebih dewasa, lebih matang, lebih pandai dan lebih materialistik. Kan? Ya. Materialistik. Sebab aku mahu sepasang Jimmy Choo di dulang hantaran peminangan dan berlian di cincin yang bakal disarungkan ke jari manis aku. Haha. Aku gurau saja.

Ya. Aku bukan muda sangat pun. Umur seperti aku ini, mak aku bilang dia sudah punya anak dua. Eleh! Bukan susah sangat buat anak pun. Saja nak provok aku agar kahwin cepat. {Lari masuk bilik. Kunci bilik dengan tiga mangga solex. Pasang radio kuat-kuat, bilamana mak buka mulut dan mahu bercerita tentang kahwin}

Ops. Ini bukan entri tentang kahwin. Ini entri tentang zaman bercinta waktu muda lagi bodoh. Zaman itu, yang bodoh lagi tuli, tak peduli mak dan ayah menjeruk rasa menahan marah bila menerima bil telefon yang boleh beli beras 12 kampit untuk makanan sekeluarga.

Argh! Rasa nak hentak-hentak kepala kat dinding biar dinding sama kepala pecah jadi debu.

Sekarang tak sama macam dulu. Ia dah berlalu. Sekarang ini, masa untuk menerima segala pembalasan atas kejahatan yang pernah aku lakukan.

Uhuhu.

Jumaat, 10 Ogos 2007

Bloody Temper

Oh. Please!! I really need help. Professional help maybe. To control, reduce my temper. My bloody hot temper! I really don't want to get angry easily. I feel bad after that. Really bad~

Take a deep breath.

Sigh

Khamis, 9 Ogos 2007

Entri tertangguh

Uno {Sejarah}

Tiap-tiap hari di berita TV diselitkan segmen Wira Malaysia. Yang secara tak langsung membawa penonton menonton sejarah kejayaan Malaysia.

Terasa macam duduk dalam kelas Sejarah. Cikgu Syarifah bercerita tentang profil wira-wira yang berjuang untuk tanah air.

Ye. Aku tahu. Moralnya : Jangan lupakan sejarah Negara. (Tiba-tiba blog aku ada moral pula?)

Akan tetapi. Bekerja di sini mengajar aku betapa sejarah itu penting juga.

"Encik, data-data yang lama dalam sistem ini nak buang ke? Bukan pakai pun."
"Eh, mana boleh. Penting tu. Kita nak tahu dulu-dulu punya cerita menerusi data-data itulah!"
"Oooh"

See. Pentingkan sejarah?


Dos {Stilettos}

Aku sangat suka kasut. Stilettos terutamanya. Ada dua pasang stilettos di rumah dan sepasang di pejabat. Selalunya pakai sewaktu pergi kenduri atau beraya di rumah sanak saudara dan rakan-rakan. Di pejabat pula aku menyarung stilettos waktu mesyuarat atau ada acara penting. Manalah tahu.

Tetapi, untuk memakai stilettos, tidak boleh naik lrt, bas dan mana-mana pengangkutan awam yang lain. Merbahaya untuk kesihatan. Stilettos juga tidak sesuai dipakai sewaktu membeli-belah atau bertemu-janji dengan teman-lelaki dan menonton wayang.

Pakai stilettos yang tingginya 2 inci itu hanya ke majlis makan malam, mesyuarat, kenduri kahwin dan majlis-majlis yang memerlukan kau tenang-tenang, berjalan perlahan-lahan dan menikmati makanan.

Jadi, kenapa wujudnya perumpamaan 'Kecantikan melalui penderitaan'? Karut!

Rabu, 8 Ogos 2007

Bait yang hilang

Kadang-kadang bila terlalu lama tidak menulis.

Dan idea yang melimpah-ruah di kotak ingatan.

Namun tidak dapat dimuntahkan ke atas skrin putih.

Kursor yang berkelip-kelip menanti input dari papan kekunci.

Terkakunya jari-jari.

Bait-bait itu. Hilang di sini.

Damn!

Selasa, 7 Ogos 2007

Bukan Orang Suci

Dahulu, zaman mak-mak kita dulu. Membicarakan tentang sek*s adalah taboo. Sesiapa yang bertanya, nenek-nenek kita akan membeliakkan mata, mengutil peha dan paling dasyat, dicili mulut mereka yang lantang bertanya.

Satu artikel aku baca semalam; mengetahui perkara-perkara sek*s pada zaman dahulu boleh merosakkan kesucian mereka.

Alangkah malangnya. Aku bukan lagi orang suci~

Khamis, 2 Ogos 2007

Perangkap Hujan

Hujan yang membasahi setiap inci tubuhnya yang cuma bersalut kebaya berwarna merah menampakkan lekuk tubuh seorang wanita. Mata lelaki jalang yang memerhati berdoa agar dia tidak berhenti di situ atau mungkin berharap kebaya itu luruh dengan sendirinya.

Dia berdoa mata lelaki-lelaki itu agar buta dari melihatnya!

Rabu, 1 Ogos 2007

spider

Technorati Profile

Khamis, 21 Jun 2007

Before I go.

Just give me one last kiss.

Farewell. For now. Till time cure my heartache.

Done said.

Rabu, 20 Jun 2007

Anak Ikan

Definasi; teman lelaki yang muda 2-3 tahun dari usia wanita.

Bila pilihan yang wanita ada hanyalah:
Lelaki-lelaki 2-3 tahun tua dari usianya tetapi sudah berkahwin.

Lelaki-lelaki yang seusia tetapi kewangan yang tidak stabil dan kareer belum tetap duduk.

Lelaki-lelaki muda tetapi boleh bagi komitmen.


Percayalah. Wanita akan senang berdamping dengan lelaki-lelaki muda. Untuk mengisi kekosongan jawatan "teman-lelaki". Sekadar fill in the blank. Unless, lelaki-lelaki muda itu sanggup menjadi partner sehidup semati. Apa salahnya?

Hmm. Best juga bersuami/berteman-lelaki yang muda dari kita. Bolehlah kita sentiasa nampak muda. :-)

Sabtu, 16 Jun 2007

WEBLOG DAY

Sambutan Weblog Day 2007 anjuran Geng Jurnal akan diadakan pada 16 Jun 2007 ini.

Ada tresure hunt, permainan, dan paling penting, ada makan-makan. Berkonsepkan potluck dan santai. Ayuh kita sertai beramai-ramai.




Laporan untuk Team Pink Platun di sini.

Jumaat, 15 Jun 2007

10 Lelaki Aku

Mula-mula nak betulkan tanggapan pertama anda bila membaca tajuk di atas. Sekali-kali TIDAK aku boleh melayan sehingga 10 orang lelaki. Tetapi 10 lelaki seperti senarai di bawah adalah lelaki-lelaki yang aku suka, love to be with. But it's impossible.

Mereka samada nampak seksi, kacak, macho, nakal - hanya di mata aku saja. Kalau kamu rasa senarai di bawah tidak menepati ciri-ciri lelaki idaman kamu, buat senarai sendiri yach! Untuk perempuan sahaja. Err.. tak tahulah kalau-kalau ada lelaki di luar sana mahu buat senarai lelaki idaman dia. Opps..!


10. Gerald - My Chemical Romance.
Aku suka dia dalam clip I Dont Love You & clip lagu Helena (So Long and Goodnite). Dengan rambut hitam dan dia nampak sangat comel dengan wajah "sad look" dalam lagu tu. Di bait, "I dont love you, like I love you," kamera close up muka dia penuh di tv 41" rumah aku buat, aku rasa dekatnya dia dengan aku, tapi aku tak boleh nak pegang~ (keji ye dak?)


9. Rob Thomas - Matchbox 20
Suara dia yang husky buat aku meminati Matchbox 20. Tiba-tiba aku nampak video clip dia bersama Santana. Aku rasa dia seksi!


8. Pharrell William
Senyumnya sangat manis. Binaan badannya tidak kurus dan tidak nampak terlalu sasa seperti R Kelly, Ja Rule ataupun Usher. Just nice. Biarpun dia nampak lebih kecil dari mana-mana penyanyi Nigga yang lain. Tapi dia nampak lebih soft dan sweet dan lebih handsome dari mereka semua.


7.John Cusack
Kadang aku suka lelaki yang gabra-gabra macam dia. Nampak sweet. Macam dia berlakon dalam Con Air, High Fidelity, Serendipity dan American's Sweetheart.


6. Fahrin Ahmad.
Aku tertawan dengan dia hanya kerana mata dia. Err. badan yang sasa dan senyum manisnya itu adalah bonus. Aku percaya janggutnya juga hanya kosmetik.


5. Ewan McGregor.
Lakonan Ewan McGregor dalam Down With Love bersama Renee Zellwegger, buat aku terpaku dengan kekacakannya. Walaupun wajahnya dalam kategori cute, tapi dalam Star Wars memangkah tanggapan yang dia tak boleh nampak macho. Ya. Ewan sangat macho dalam Star Wars. Dia juga beraksi lasak dalam The Island. Sangat versatail dan itulah seksi!


4. Jude Law
Dia sweet. Sangat sweet. Dia pula selalu ada di desk aku. Maksud aku, aku letak dia sebagai wallpaper desktop pc ku, ok!


3. Jullian McMahon
Demon dalam Charmed yang buat Phoebe jatuh cinta sudah aku memaaafkan kejahatan dia. Egonya dalam Fantastic Four pun aku maafkan. Dia suka flirting dalam Nip/Tuck juga aku maafkan. Kerana matanya, senyumnya mencairkan hati aku dan maafkan walaupun seribu kesalahan yang dia lakukan.


2. Johnny Depp
Perlukah aku terangkan lebih lanjut betapa hotnya Johnny Depp ni??

Savvy?

1. Tempat pertama aku biarkan kosong. Dan biarkan kalian tertanya-tanya dan membuat andaian sendiri siapa lelaki yang menduduki tangga pertama 10 lelaki aku. Biar apa pun andaian kalian. Aku mahu beritahu, andaian dan tekaan kalian semua tu tak benar dan tak betul. Haha

Selasa, 12 Jun 2007

I'm Annoyed!

Aku benci betul dapat email dari kawan-kawan yang mana di akhirnya tertulis seperti ini :

1. Dah! Pergi buat kerja. Asyik baca email je.

2. Monyet itu sedang baca email ini.

3. Company Lu bayar Lu buat kerja. Bukan baca email!

Etc. Etc. Versi lain-lain tapi maksudnya sama : Baca email adalah membuang masa dan menampakkan aku atau kau tak buat kerja.

Yes, I'm annoyed. Sangat! Siapa suruh kau bagi email seperti itu yang mana menampakkan kau juga kerjanya baca email dan terlebih rajin mem-forward-kan kepada kawan-kawan kau yang lain. Mana lebih teruk? Jadi aku yang baca saja email itu, atau jadi seperti kau, baca dan forward email tersebut? Siapa yang lebih tak buat kerja di sini?

Dah kau bagi email. Takkan aku nak biarkan bersarang dalam inbox saja kan? Aku baca dan delete. Aku ada kerja lain nak buat. Bukan macam kau, rajin sangat baca email dan emailkan pula pada orang lain. :-p

Isnin, 4 Jun 2007

3Some

SATU.
Malam MASKARA berjaya. Alhamdulillah. Aku membaca Gadisku, nukilan Nureffa dari naskah Pink Platun. Aku pembaca naskah yang pertama. Sangat gementar. Naik pentas buat kali kedua setelah dipujuk-rayu oleh PanahArjuna untuk berduet membaca novelnya 40 Lukisan Hati. Masih gementar waktu itu.

Aku telah update cerita MASKARA di Pink Platun di sini berserta gambar.

Detail di blog Mat Jan. Ini linknya.


DUA.
Kenduri kahwin di Klang. Nasib tak sesat jauh sangat, sehingga ke Pelabuhan Klang misalnya. Alhamdulillah, selamat sampai dan makan dengan best sebelum Nida di-ngorat oleh seorang tetamu (saudara pengantin) yang datang. Mengorat, tapi tak minta no telefon? Apakah motif? Hahaha.

Kenduri Kemat sempat aku hadir. Dari Klang ke Sg Plong, perjalanan memakan masa sejam sahaja. Ikut highway Guthrie - di mana di tol pertama highway itu, Nida kematian enjin kereta, waktu niat jahat aku mahukan nombor telefon tol-gate-guy yang cute itu.

Dapat ambil gambar Kemat & wife yang comel serta dapat jumpa Neezie. Oh, handsome juga orangnya. Hihi.


TIGA.
Ini kali entah ke-berapa, kereta diekori oleh lelaki-lelaki yang melucukan (menakutkan). Kali ini, kereta Nida. Di Jalan Ipoh, kereta kami diekori oleh Waja sehingga ke Sentul - rumah Nida. Semata-mata lelaki-lelaki itu mahukan nombor telefon. Gila! Baik aku dan Nida, tidak berikan nombor telefon sewenangnya.

Kerja gila, aku sifatkan lelaki-lelaki seperti ini. Begitupun aku kagum keberanian mereka mengekori sehingga mana-mana untuk dapatkan nombor telefon. Tak takut di-reject barangkali. Atau sekadar mahu menguji akal si gadis sama ada mahu memberi nombor telefon sewenangnya atau sebaliknya.

Atau lelaki seperti ini mahu sekadar mencuba nasib. Mahu mengorat bukan dengan cara yang klise seperti bertanya, jam berapa sekarang. Lelaki berani seperti ini, kadang-kala aku takut juga. Jika diekori, aku selalunya cari jalan membelok dan dia terlepas untuk mengikut. Tambah jika drive seorang diri. Bahaya beb! Uh, ngeri~

Khamis, 31 Mei 2007

Anak-Anak Kita

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan. Pistol-pistolan

*Anak-Anak Kita - M Nasir.




Err.. Bukan aku mahu anak. Belum fikir untuk dapatkan anak pun. Mana mungkin aku mahu fikir tentang anak, jika kahwin pun belum terfikir lagi? Ini cerita tentang kanak-kanak yang aku perhatikan. Dari jauh.

Aku melihat ibu bapa yang manjakan anak-anak mereka sehingga merosakkan mereka. Contohnya, membiarkan anak-anak di shopping complex berlari ke sana-sini. Panjat itu-ini. Usik itu-ini. Terjerit sana-sini. Nakal pun ada limitasi. Ini, aku tengok pun naik ngeri. Isk.

Cukup tak berkenan bila melihat kanak-kanak lelaki dipotong pendek rambutnya. Tapi meninggalkan ekor di belakang panjang. Macam rambut Mat Rempit. Kecil-kecil dah diajar begitu. Tak mustahil besar esok jadi Mat Rempit juga. Salah siapa?

Bila aku perhati orang-orang yang tak pandai jaga anak ini, mengabaikan anak ini, aku rasa annoy. Macam, mula-mula mereka hanya mahu berseronok-seronok. Kemudian, alamak~ termengandung pula. Lepas tu anak terabai. Tak dijaga sebaiknya. Apa punya parent da..? Tak mahu anak, prevent la~ Janganla sampai anak terabai.

Tak baik aku ni. Suka-suka hati saja aku nak complaint itu-ini kat orang yang ada anak, ye dak? Dah ada anak esok, baru tau!

Entri ini mengingatkan aku tentang sukarnya mak-ayah aku menjaga aku dulu, dan moga-moga aku boleh memikul amanah Allah sebaiknya kelak. Insya Allah

Rabu, 30 Mei 2007

Janggalnya

Aku tak tahu macam mana nak cakap, tapi aku rasa sangat janggal/pelik bila aku terdengar cara kawan aku panggil husband dia.

Kalau dia panggil abang ke, sayang ke, darling ke, honey ke, B ke, papa ke, ayah ke. Aku boleh terima lagi. Tapi, dia panggil 'YOU', ya. KAMU - bila di-translate-kan.

"You.. You.. ambilkan itu, ini."
"You.. You.. Nak balik pukul berapa ni?"
"I ingatkan, lepas ini kita pergi sana-sini. You ingat macam mana?"

Mungkin mahu nampak moden atau nampak stylo atau nampak ke-inggeris-an sikit kot? (Kihkihkih)

Kelakarlah. Kalau (kalau.. aku bilang kalau) aku, aku prefer menggunakan kata ganti diri kedua untuk *suami yang menggambarkan rasa hormat kepada suami (jika aku dah berkahwin kelak~). Bukan ber I, You.

Jika mahu ber-I,You - gunalah bila komunikasi dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Kan? Maksud, dalam ayat english yang penuh. Seperti ini ;

Honey, can you fetch me after work?
Darling, I'm tired. You can cook, don't you?

Kan nampak lebih manis. Lebih menyenangkan hati. ;-)

* dan entah mengapa tiba-tiba aku rasa janggal bila aku tulis perkataan suami. hihi

Jumaat, 25 Mei 2007

Petunjuk Tidak Berkesan

Pernah tak cuba-cuba memikat hati seseorang? Aku tanya lelaki dan wanita juga.

Sekurang-kurangnya pun, si lelaki mesti pernah bertanya nama atau nombor telefon wanita yang berjaya menawan matanya pada pandangan pertama. Kalau wanita itu suka pada lelaki itu. Proses memikat itu tak akan makan masa yang lama. (Hihi)

Bagaimana pula wanita mahu memikat hati lelaki yang dia puja ya? Kalau lelaki itu suka dia, tidak menjadi masalah. Dah dua-dua suka.

Tapi bagaimana untuk menawan hati lelaki yang tidak tahu wanita itu benar-benar sukakannya? (Kes lelaki stone la ni.. Haha) Wanita yang tipikalnya malu untuk berterus terang. Jadi, wanita pun meninggalkan petunjuk-petunjuk agar lelaki memahami isi hati mereka.

Apabila membaca buku Why Men Don't Listen & Why Women Can't Read Map, menyatakan bahawa lelaki tipikalnya tidak memahami bahasa petunjuk wanita. Bagaimana mahu buat lelaki memahami? Terus terang? Oh, ada wanita yang tidak mampu.

Aku tak fikir lelaki tak faham langsung petunjuk dari wanita. Lelaki macam ni, sangatlah stonenya. Lelaki bijaksana pastinya memahami petunjuk wanita dan sengaja dia buat-buat tak faham; mungkin sebab dia cuma mahu berkawan saja dengan wanita itu dan tiada hati untuk menjadikan wanita itu teman istimewanya.

Bila petunjuk tidak berkesan, mahu atau tidak, wanita selalunya tidak mahu melepaskan pujaan hatinya begitu saja, terpaksalah berterus-terang. Risikonya, malu bila ditolak. Sedihnya!

Lelaki, jika anda dengar-dengar petunjuk wanita ini, dan anda faham. Moleklah kiranya anda beri tindak-balas. Jika suka, katakan suka. Jika tidak, katakan : kita sesuai berkawan saja. :-)

Selasa, 22 Mei 2007

Lelaki Oh Lelaki

Hihihihi.. Tawa aku yang terdengar sehingga partition sebelah-sebelah sana, buat mereka menjerit, "Oiii! Gila ke gelak sorang-sorang.."

Makin kuat tawa aku. Dari Hihihi, bertukar kepada Hahaha. Kalau gelak macam ni, kawan aku cakap - cancel bakal mak mertua nak buat menantu. Tak apa, depan bakal mak mertua, kita gelak la slow-slow dengan tangan menekup mulut. Hikhikhik. Hipokrit kan?

Ah, persetankan gelak aku macam mana. Tapi topik utama yang buat aku tergelak ialah...

LELAKI MELAYU BERMASALAH

Aku suka part ini :


Jika perempuan boleh dilatih sejak kecil untuk menguruskan rumah tangga, kenapa tidak lelaki juga dilatih bertanggungjawab? Kerap kali kita mendengar golongan tua meleteri gadis-gadis muda,"Kalau tidak tahu masak macam mana nak kahwin?" Kenapa tidak katakan perkara yang sama kepada anak-anak lelaki? Kenapa tidak ada yang berkata, "Kalau perangai macam sampah, macam mana hendak kahwin?


Wooo! Aku kagum dengan keberanian wanita ini. Aku mahu bangun dan tepuk tangan kepadanya. Hahaha. Bacalah hari ini. Sebelum terlambat. Perempuan, mari tepuk tangan. Lelaki, belajarlah!

Cerita Lama Amyz