Khamis, 15 September 2005

Nak Bercantik-Cantik

Ok. Pertama sekali, biarlah saya beritahu dahulu bahawa saya sangat taksub dengan solekan dan rawatan muka. Kawan-kawan pun tahu wajah saya ni sangat bermasalah. Jadi saya sering buat rawatan muka serta membeli alat solek untuk menutup masalah wajah saya. Lama-kelamaan, saya mula suka bersolek kerana dengan solekan saya nampak cantik sedikit dan membuat saya bertambah yakin. Banyak alat solek telah saya beli dan banyak juga rawatan muka yang saya telah jalani. Semua bertujuan untuk menghilangkan masalah di wajah saya. :-)

Sehingga awal tahun lalu, minat saya makin tinggi dalam bidang solekan dan rawatan muka sehingga saya berniat untuk mempelajarinya. Saya pun mencari mana-mana kelas yang menawarkan kursus solekan dan rawatan muka. Setelah dapat, saya lihat untuk mempelajari teknik solekan asas sahaja, bayaran dikenakan RM1000 ++ tidak termasuk alat solekan. Jika alat solek dan kosmetik bernilai lebih RM1000++, maka jumlah kesemua kursus solekan asas itu adalah RM2000++. Oh, saya tidak mampu. :-( Untuk belajar rawatan muka pula, kursus mlvk bernilai RM600++ dan belajar dalam masa 3 bulan. Ok. RM600 mungkin boleh. Tetapi saya tidak boleh menghadiri kelas selama 3 bulan seperti pelajar. Habis, macam mana kerja tetap saya ini?

Jadi saya biarkan dahulu minat saya terkubur dalam sanubari sehingga saya terjumpa iklan Make Over Workshop yang pertama saya hadiri pada 31hb Julai yang lalu. Mereka bertanya sekiranya mereka berminat untuk menyertai bengkel kedua. Saya berminat. Jadi di situ saya mendaftarkan diri untuk melayakkan saya mengikuti bengkel kedua.

Lalu pada hari Ahad. 11 September 2005 yang lalu. Sepertimana saya umumkan di dalam forum geng jurnal tentang make up workshop pada hari tersebut, telahpun saya hadiri dan banyak perkara saya dapat belajar dari workshop tersebut.

Oleh kerana sebab ianya bengkel solekan, maka semua wanita yang hadir di bengkel itu dapat mempelajari tentang solekan dan kecantikan. Salah seorang tenaga pengajar berkata, "Tiada seorang wanita pun yang tidak cantik, cuma mereka malas untuk mencantikkan diri mereka. " :-)

Apa yang menarik? Oh, sangat banyak. Teori teknik-teknik solekan yang saya belajar melalui majalah-majalah tidak seperti mana yang saya praktikkan sewaktu bengkel solekan. Dengan teknik yang betul dan teratur, dengan praktikal, saya telah merubah wajah saya dan berjaya membuat kawan-kawan saya sendiri terpegun. Wah.. seronoknyaa..!!

Sekarang dan seterusnya, saya akan memahirkan diri dalam bidang solekan dan rawatan muka agar saya dapat mempersiapkan diri saya untuk menjadi salah seolah daripada konsultan kecantikan bersama kawan-kawan saya. :-)

Ada sesiapa nak buat rawatan muka asas atau solekan untuk majlis makan malam atau konvokasion atau majlis-majlis rasmi? Boleh la hubungi saya. ;-)

Kak Nett sudahpun menempah saya sebagai mak andam beliau untuk majlis perkahwinannya. Anda bagaimana? ;-)

0 comments:

Cerita Lama Amyz