Khamis, 9 September 2004

Si Comel Atiya.

Anak buah saya yang sulung ni dah pandai senyum pada orang yang bercakap dengannya. Mata dia bulat-bulat bila namanya dipanggil. Apatah lagi bila bercerita dengannya, tersenyum hingga nampak gusi. Dia pun pandai bercerita. Keluarlah suara Aaa.. Uuu.. nya, dengan tangan rewang sana-sini. Kemudian tersenyum-senyum, membuatkan kami sekeluarga terhibur dengan telatahnya.

Waktu bulan-bulan awal kelahirannya, Kakak saya tinggal bersama mak di Cheras. Mak menjaga Atiya waktu mereka ke pejabat. Masuk bulan September ini, Kakak saya membawa Atiya balik ke Puchong dan menghantar Atiya ke Nurseri di situ. Ini kerana, mak dan ayah akan menunaikan haji tak lama lagi. Mereka perlu menyiapkan diri sebelum berangkat ke sana.

Ibunya, kakak saya yang sulong turun 5kg menjaganya yang suka jaga malam. Atiya budak baik. Dia tidak menangis malam. Bila dia mahu susu, dia cuma menggerakkan tangan, menendang-nendang kaki dan bersuara seperti mengadu kehausan. Bila mahu tidur, baru dia menangis. Bukan menangis pun, cuma mencebik-cebik bibir saja.

Ayah saya suka melayan kerenahnya. Bila dia mahukan susu, ayah akan memangku Atiya dan memberinya susu botol. Begitu juga waktu tidur. Ayah saya sanggup memangku Atiya dan menidurkan hingga Atiya lena. Satu kelebihan menjaga Atiya, bila dia tidur, dia akan tidur pada tempoh yang lama. Ini memudahkan mak saya melakukan kerja rumah waktu budak kecil ini tidur. Bila dia terjaga dan mendapati tiada orang di sekelilingnya, Atiya akan membebel seorang diri seolah memanggil orang menemankannya. Comelnya Atiya!

Saya suka menguruskan Atiya waktu selepas mandi. Saya tidak berani memandikan Atiya. Biar mak saja yang memandikannya. Saya memakaikannya baju yang cantik. Membedakkan badannya. Memakaikan stokin dan sarung tangan yang comel. Kemudian, membawa dia berjalan melihat-lihat sekeliling rumah sambil menunggu Ibu dan Papa Atiya balik kerja.

Minggu lepas, dia belajar meniarap. Belum pandai lagi. Bila meniarap, badannya akan menimpa tangan dan menyebabkan dia tidak dapat bergerak. Ini menyebabkan dia marah dan menangis. Ibunya akan mengangkat dan membaringkan Atiya semula. Hari isnin lepas, Atiya demam. Nak besarlah katakan. Ibu dan Papanya kalut hingga mengambil cuti menjaga Atiya. Kelmarin, Ibu dan Papanya menghantar Atiya ke rumah Mak, kerana kak Long tidak begitu mempercayai penjaga di Nurseri itu menjaga Atiya yang demam. Suhu badannya naik. Atiya asyik merengek-rengek. Semua orang melayan saja segala kerenahnya. Kasihan Atiya. Mesti badannya tidak selesa. Dia diam waktu Ayah menidurkannya. Kami semua berbual-bual waktu Atiya tidur. Bila dia terjaga, mak mengagahnya. Tidak disangka, Atiya tertawa. Sebelum ini, dia cuma tersenyum saja. Tetapi kelmarin dia ketawa. Kami sekeluarga seronok melihat dia ketawa hingga bergegar badannya. Melihatkan dia sudah nampak sihat, Ibu dan Papanya membawa dia balik Puchong sebelum malam bertambah lewat.

Semalam pulang rumah, melihat katil bayi yang kosong. Buaian yang kosong. Tanpa ada Atiya di situ. Saya dihambat sunyi. Sayang kat Atiya yang comel! :o)

0 comments:

Cerita Lama Amyz