Isnin, 23 Ogos 2004

MRR2 - Dalam Ingatan.

Bila kecoh-kecoh tentang Jejambat MRR2 di Kepong mengalami keretakan dan isu berkaitan, saya akan terkenangkan zaman saya bekerja di LGTT dulu. Sejak saya mendapat kebenaran ayah untuk menggunakan kereta ke tempat kerja, saya menggunakan MRR2 sebagai jalan utama saya ke tempat kerja setiap hari. Walaupun jauh, tapi selesa dan tiada tol. Ahaks! :o)

Seawal jam 7:00am atau selewat-lewat 7:30am, saya keluar dari rumah, melalui sepanjang jalan Taman Kencana dan menyusur masuk ke MRR2 dari Taman Kencana. Melalui Pandan Indah - selalu sesak di situ. Susur keluar dari Pandan Indah dan susur masuk ke Pandan Jaya terlalu dekat yang menyebabkan kesesakan berlaku pagi dan petang setiap hari. Janganlah hairan mengapa sesak samada bermula di Pandan Safari atau Ampang Point setiap hari. Itu sebab saya ambil keputusan untuk bekerja lebih masa setiap hari.

Itu baru sampai di Pandan Indah. Pagi-pagi lagi mood dah rosak sebab sesak. Lepas dari seksa yang pertama, saya akan memandu dengan selesa. Tetapi perlu berhati-hati apabila kereta menuruni flyover di Ampang Point, kerana di situ ada selekoh termasuklah kereta bodoh keluar dari susur Flaminggo yang selalu terus cross ke line tengah atau kanan sekali, memaksa kereta yang turun dari flyover menekan brek. Hmm.. memang kena maki saja.

Lepas Ampang, saya akan menyusuri MRR2 melalui Keramat, Melawati, Wangsa Maju, Gombak. Sepanjang jalan ini, biasanya tidak terlalu bermasalah melainkan kereta-kereta yang laju dan selekoh-sekoh serta flyover yang boleh membahayakan pengguna jalan-raya. Setiap 2 hari sekali, saya selalunya berhenti di stesen minyak Petronas Wangsa Maju untuk mengisi minyak kereta.

Sesampai di Sri Gombak & Batu Caves, ada berlaku kesesakan di sini. Ini kerana ada 2 traffic light untuk memudahkan kereta keluar masuk ke Taman Samudera dan kawasan perkilangan. Selalunya, polis trafik akan mengawal dan meredakan kesesakan. Kini di situ ada pembinaan flyover untuk mencegah kesesakan dan menyusahkan polis trafik di mana keadaan sekarang menyebabkan kesesakan berlaku lagi.

Selepas Batu Caves, saya melalui satu tempat di mana orang bermain layang-layang yang kini di tutup untuk pemuliharaan. Melalui Frim dan Kepong. Jejambat MRR2 di Kepong itu sebenarnya masih baru. Sebelum di tutup baru-baru ini, saya melalui Jejambat sepanjang 1.5km itu terus sehingga Manjalara dan menempuh kesesakan di depan SMAKL. Saya juga pernah terperangkap dalam kesesakan sewaktu masih berada di atas jejambat itu lagi. Kesesakan di situ berpunca dari perumahan di Damansara Damai. Pada mula pembukaan Damansara Damai, penduduk di situ akan membuat pusingan U di traffic light depan komuter Sg Buluh. Kemudian pihak pemaju mengambil keputusan untuk mewujudkan simpang dan traffic light di situ. Ia sebenarnya memburukkan lagi keadaan. Akhirnya, mereka menutup traffic light tersebut dan membiarkan penduduk dari Damansara Damai membuat pusingan U di traffic light komuter Sg. Buluh.

Saya membuang masa antara 10-30 minit berada di dalam kesesakan Manjalara ke Sg. Buluh setiap hari. Nasib saya baik, kerana saya akan membelok ke Sri Damansara di simpang 4 antara LDP, Sri Damansara dan Sg. Buluh untuk ke LGTT. Adakalanya saya tidak menggunakan jejambat itu kerana sesak dengan menggunakan laluan alternatif dengan melalui taman-taman perumahan terletak di Frim dan Kepong Ulu, terus sehingga tempat kerja. Walaupun tidak sesak, tetapi banyak kenderaan melalui jalan tersebut untuk keluar dari taman-taman perumahan ke tempat kerja.

Bila Menteri mengumumkan penutupan MRR2 di Jejambat Kepong baru-baru ini, saya rasa bersyukur juga kerana saya tidak lagi menggunakan MRR2 untuk ke tempat kerja. Saya tahu betapa seksanya terperangkap dalam kesesakan di kawasan itu. Malah sebelum pembinaan jejambat, semasa pembinaan jejambat dan siapnya jejambat tersebut! Pun begitu, saya masih lagi menjadi pengguna MRR2 untuk ke One Utama, Ikea dan kawasan damansara itu setiap minggu.. :o)

0 comments:

Cerita Lama Amyz