Jumaat, 23 Julai 2004

Terkenang-Kenang

Waktu naik lif ke tingkat 7 pagi tadi, aku tersenyum sendiri apabila teringatkan kenakalan pelajar-pelajar LGTT . Masa bekerja di LGTT, budak-budak tu sangat suka buat dajal kat lif situ. Macam tak pernah naik lif pun ada juga. Waktu tu aku cukup marah bila aku nak turun dengan lif, aku tengok butang lif tu semuanya dah di tekan. Apalagi, di setiap tingkatlah lif itu berhenti macam Star LRT, walaupun tak ada orang turun atau naik. Oleh kerana ITC di tingkat 4, lif itu akan berhenti di tingkat 3,2 dan G. Itu membuatkan aku 'hangin satu badan', apatah lagi waktu itu aku hendak cepat. Aku pun pernah jadi pelajar juga, aku pun nakal juga waktu belajar dulu, tapi tak adalah nak menyusahkan orang lain. Marah tu memang membara, cuma marah-marah dalam hati saja lah. Nak pergi cari budak-budak tu, pukul ke, tak adalah.

Kalau hendak naik atas pun begitu juga. Aku tunggu lif di G untuk masuk office di tingkat 4. Budak-budak yang baru habis kelas ini akan keluar beramai-ramai dari lif tanpa lupa meninggalkan 'tanda' di setiap butang lif. Aku nak marah tak boleh, jadi aku jeling budak-budak tu sampai semuanya tunduk dan berlalu dari situ dengan cepat-cepat. Budak-budak ni, mak-ayah hantar pergi belajar, dia main-main pula di sini. Marah betul aku waktu tu. Pun begitu, hendak atau tidak, aku terpaksa juga naik lif itu, biarpun ia akan berhenti di setiap tingkat dan aku seperti orang bodoh melihat pintu lif terbuka dan tertutup tetapi tiada orang yang turun di setiap tingkat di mana lif itu berhenti. Apabila sampai di ITC, muka 'empat-belas' aku di sedari oleh kawan sekerja, lantas mengusik aku tanpa henti, di mana akhirnya aku akan tertawa dan segala marah yang berkumpul bagai hilang begitu saja. Kawan-kawan aku pun nakal juga. Sehari tak usik aku, memang tak sah!

Bila mengenang semua itu, buat aku tersenyum sendiri. Biarpun waktu menghadapi situasi itu membuat aku marah, tetapi aku gembira ianya berlaku kerana itu menjadi tanda dalam ingatan aku betapa nakalnya pelajar LGTT dan juga betapa nakalnya kawan-kawan aku. Dan tadi, waktu keluar dari lif itu, terlintas di fikiran nakal aku untuk menekan semua butang lif itu dari tingkat 6 sehingga 1. Tetapi, aku tidak mahu berbuat begitu. Nampak sangat aku 2x5 dengan budak-budak nakal itu. Tidak, aku tidak senakal itu. Tambahan aku tak mahu orang lain jadi bodoh macam aku, tunggu dalam lif yang berhenti di setiap tingkat tetapi tiada orang keluar atau masuk. Kasihan kan?

0 comments:

Cerita Lama Amyz